Tumpuan :
Nasional

V Sivakumar terus sokong Kerajaan MADANI meskipun digugur menteri

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Meskipun tidak dilantik semula sebagai Menteri Sumber Manusia dalam Kabinet baharu, namun bekas menterinya, V Sivakumar akan sentiasa memberi sokongan kepada Kerajaan MADANI.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Batu Gajah, Perak.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh anggota Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang telah banyak membantu saya dan sentiasa berusaha membantu saya dalam menerajui KSM. Anggota KSM rata-ratanya sentiasa prihatin dan proaktif dalam penambahbaikan senario sumber manusia dalam negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi di bawah KSM yang sentiasa terbuka untuk bekerjasama demi kecemerlangan sumber manusia di negara ini.

Jelasnya, sepanjang setahun menerajui KSM, beliau berbangga dengan kerjasama antara kementerian dengan seluruh agensi yang berjaya memperoleh banyak pencapaian.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan parti atas peluang yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat di KSM selama setahun ini. Semoga Kerajaan MADANI dapat terus mengekalkan tadbir urus negara yang baik buat seluruh rakyat Malaysia.

“Permohonan maaf ke atas semua agensi, pegawai atau mana-mana pihak yang pernah berurusan dengan saya di dalam KSM jika ada terdapat kesalahan dari pihak saya sepanjang menjadi menteri,” katanya.

Anwar hari ini mengumumkan senarai barisan Kabinet baharunya terdiri daripada 31 menteri dan 29 timbalan menteri.

Anwar menggugurkan V Sivakumar sebagai Menteri Sumber Manusia dan digantikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

“Tahniah buat Steven Sim Chee Keong yang telah diumum oleh Perdana Menteri sebagai menteri baru di KSM yang akan menggantikan saya. Selamat maju jaya saya ucapkan,” kata V Sivakumar.

Loading...
Terkini