KUALA LUMPUR: UzmaSAT-1, satelit penderiaan jauh beresolusi tinggi keluaran syarikat tempatan Uzma Berhad, berjaya dilancarkan ke orbit rendah bumi awal pagi tadi.
Pelancaran menggunakan roket Falcon 9 Transporter 12 milik SpaceX itu berlangsung pada jam 3 pagi waktu Malaysia dari Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat (AS).
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata kejayaan itu menjadikan UzmaSAT-1 sebagai satelit ke-13 di bawah pengawasan Malaysia.
“Sebagai peneraju Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), Mosti melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) komited menyokong usaha industri tempatan dalam pembangunan sektor angkasa yang berdaya saing dan mampan,” katanya.
UzmaSAT-1, seberat 45.4 kilogram, mampu menyediakan data permukaan bumi untuk meningkatkan operasi pemantauan, termasuk dalam pengurusan sekuriti makanan, keselamatan, dan pertahanan negara.
Menurut kementerian itu kerjasama strategik akan mengoptimumkan penggunaan satelit terbabit serta meningkatkan pelbagai aplikasinya untuk Malaysia.
“Ini membuktikan pemain industri tempatan mampu menyumbang kepada ekonomi angkasa baharu negara
“Satelit itu dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekosistem angkasa negara, membantu Malaysia beralih daripada pengguna kepada pencipta teknologi angkasa,” ujarnya.
Kejayaan itu turut dipancarkan secara langsung di Ibu Pejabat Uzma Berhad di Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat MYSA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.