CHANGLUN: Sebanyak 40 Bakul Ramadan dan set naskag Al-Quran diedarkan kepada dua masjid dan golongan memerlukan sempena Program UUM Jelajah Masjid 2023.
Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, tujuan program tersebut adalah untuk merapatkan hubungan antara UUM dan masyarakat sekitar.
“Program ini menjadi fokus kepada pihak universiti dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala antara insitusi pengajian tinggi dan juga masjid.
“Justeru, UUM sangat berbesar hati untuk menghulurkan apa juga perkara yang dapat memberi manfaat bersama antara UUM dan masjid-masjid di kawasan sekitar ini,” katanya.
Tambah Mohd Fo’ad, UUM Jelajah Masjid adalah salah satu program untuk universiti mendekati rakyat supaya dapaf mengeratkan lagi silaturahim dan pda masa sama menjadi tanggungjawab UUM untuk saling membantu antara satu sama lain terutamanya berkaitan pembelajaran dan kebajikan.
Sebagai permulaan, dua masjid dalam daerah Kubang Pasu dipilih untuk menerima sumbangan tersebut iaitu Masjid Al Ihsan, Kampung Changkat Setul dan Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi.
Turut serta dalam Program UUM Jelajah Masjid ini ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad hadir di Masjid Al Ihsan.