comscore
Tumpuan :
Nasional

UUM antara 500 universiti terbaik dunia

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) disenarai dalam kelompok 401-500 universiti terbaik dunia melalui penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025.

Pencapaian itu menjadikan UUM sebagai universiti ketiga terbaik di Malaysia dalam kalangan institusi awam dan swasta di negara ini.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan, berkata pencapaian itu seiring dengan kedudukan UUM sebagai tiga universiti penyelidikan terkemuka di negara ini.

Katanya, kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan UUM sebagai universiti yang aktif dalam penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta relevan di peringkat antarabangsa.

“Pencapaian ini bukan hanya milik individu, tetapi juga kejayaan kolektif kita semua dari peringkat akar umbi hingga ke pucuk pimpinan.

“Ini adalah hasil daripada komitmen UUM dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang memberi impak positif kepada dunia akademik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Foad juga berharap semua warga UUM akan terus komited dan berusaha meningkatkan kedudukan universiti itu pada masa hadapan.

Pada masa sama, beliau berkata, peningkatan UUM dalam indikator impak itu mencerminkan kualiti penerbitan yang menjadi rujukan dalam kalangan ahli akademik terutamanya dalam bidang pengurusan.

Penarafan The World University Rankings yang dikeluarkan setiap tahun membabitkan lebih 1,904 universiti di seluruh dunia, dengan penilaian berdasarkan 18 indikator.

Ia dikategorikan kepada lima aspek utama iaitu pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, hubungan dengan industri, dan perspektif antarabangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini