Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
KUALA LUMPUR: Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dilantik sebagai Naib Canselor UTM baharu berkuat kuasa esok (9 Januari).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM), Prof Dr Yatimah Alias pula dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berkuat kuasa 13 Januari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan kedua-dua Naib Canselor itu bagi tempoh dua tahun.
“Kementerian yakin pelantikan mereka ini akan memperkasakan pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan teknologi terkini serta melahirkan graduan berminda global yang bersifat tersedia industri, berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi,” menurut kenyataan itu.
Mohd Shafry, 49, adalah pakar dalam bidang Sains Komputer (Pemprosesan Imej) dan memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Spatial Modelling dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2008.
Beliau berpengalaman luas dalam tadbir urus universiti dan memegang pelbagai jawatan pentadbiran antaranya Timbalan Dekan (Kokurikulum dan Pembelajaran Servis) Sekolah Pengajian Prasiswazah UTM (2015), Pengerusi Sekolah Pengajian PraSiswazah UTM (2019), Pengerusi Institute for Life Ready Graduates (iLeaGue) UTM (2020) serta Felo Penyelidik di Media and Game Innovation of Excellence (MaGICX), Institute of Human-Centred Engineering (iHuMeN) UTM.
Sementara itu, Yatimah, 55, memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia dari University of East Anglia, Australia pada 1999 dan pakar dalam bidang Electrochemistry dan Ionic Liquids.
Mengulas lanjut, KPT memberitahu, pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMPSA adalah berdasarkan reputasi akademik yang diiktiraf serta pengalaman luas dalam pengurusan pentadbiran di UM.
Beliau pernah dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembangunan Kokurikulum UM (2014), Pengarah Pusat Perancangan Strategik Akademik UM (2018) dan Presiden Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dari 2017 hingga 2022.
“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua mantan Naib Canselor UTM dan UMPSA iaitu Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Prof Datuk Dr Yusserrie Zainuddin atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTM dan UMPSA sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.