comscore
Tumpuan :
Nasional

UTM tubuh Fakulti AI, fokus nilai kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) dengan memberi fokus kepada nilai kemanusiaan. Foto UTM NewsHub.

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) yang pertama di negara dengan memberi fokus kepada nilai kemanusiaan bagi melahirkan graduan beretika dalam menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata nilai kemanusiaan yang diterapkan penting supaya teknologi AI dapat diurus tadbir dengan baik dan tidak disalahgunakan.

Beliau berkata FAI yang mendapat peruntukan awal RM20 juta itu melantik futuris AI, Zack Kass sebagai Prof Adjung FAI bagi mendapatkan kepakarannya dalam membangunkan nilai kemanusiaan dalam kurikulum AI yang diwujudkan.

“Kami akan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan melalui kurikulum ini dalam kehidupan seharian pelajar bukan sahaja di fakulti malah kepada seluruh warga UTM,” katanya pada sidang media penubuhan FAI di UTM Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Ahmad Fauzi, nilai etika amat penting dalam penggunaan teknologi kerana tanpa etika ia bakal menimbulkan masalah pada negara.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Selaras dengan penubuhan FAI, UTM juga diberi tanggungjawab meneraju Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia yang menggabungkan universiti awam dan industri utama dalam penyelidikan teknologi tersebut di Malaysia.

Menurut Ahmad Fauzi, konsortium ini merupakan program penyelidikan teknologi AI dengan menjalankan inovasi dalam bidang tertentu termasuk pembuatan, kesihatan, pertanian, tenaga, perubahan iklim dan ekonomi.

“Sebagai contoh, dalam teknologi perubatan kami mungkin akan melantik universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut seperti Universiti Sains Malaysia (USM) atau Universiti Malaya (UM).

“Melalui konsortium ini, semua universiti boleh bekerjasama dengan UTM dalam membangunkan teknologi AI untuk kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Konsortium itu juga katanya akan dapat membantu negara melahirkan bakat yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkompetensi dalam bidang AI bagi memenuhi pasaran.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini