MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan membantu serta membiayai pengurusan jenazah dua pelajarnya yang maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin, berkata sehingga petang ini, pihaknya termasuk pasukan perubatan di Hospital Jasin sedang menguruskan beberapa prosedur sebelum bertanggungjawab menghantar jenazah ke kampung mereka untuk dikebumikan.
“UTeM mengambil tanggungjawab dengan bertindak menguruskan urusan yang berkaitan sejurus mendapat maklumat mengenai kemalangan berkenaan sejak pagi tadi.
“Sehingga petang ini, pihak UTeM sedang bertungkus lumus menguruskan kedua-dua jenazah berkenaan di Hospital Jasin yang perlu melalui proses bedah siasat terlebih dahulu dan apabila semuanya selesai, maka kami akan menggerakkan proses penghantaran kedua-dua jenazah pelajar ke kampung halaman mereka di Muadzam Shah, Pahang dan Gemencheh, Negeri Sembilan bagi urusan pengebumian.
“Pihak pengurusan dan seluruh warga UTeM berdukacita menerima perkhabaran ini dan mengucapkan salam takziah kepada ibu bapa serta ahli keluarga pelajar terbabit,” katanya.
Serentak itu, Massila berkata, UTeM juga sedang menguruskan pampasan insurans kematian dan sumbangan dari Tabung Khairat Pelajar UTeM kepada keluarga kedua-dua pelajar terbabit.
Dalam kejadian itu, polis mengesahkan empat wanita yang terbabit kemalangan dengan dua daripada mereka maut apabila kereta dinaiki mangsa terbabas lalu merempuh besi penghadang di Kilometer (KM) 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, pagi tadi, adalah penuntut UTeM.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, dilaporkan berkata, dua penumpang di bahagian hadapan dan belakang kiri kereta Perodua Myvi itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dikenali Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun akibat kecederaan parah di kepala.
Bagaimanapun, dua lagi mangsa membabitkan pemandu kereta itu, Nur Hanis Suraya Supiyan, 20 serta penumpang belakang sebelah kanan, Azwalidiya Azman, 21, masing-masing cedera di kaki dan luka ringan.
Ketika ini, kedua-dua jenazah sedang menjalani bedah siasat di Hospital Jasin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.