Tumpuan :
Nasional

Utamakan penunggang motosikal berkuasa rendah – Penganalisis

Foto hiasan

Oleh: Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Tumpuan naik taraf laluan di lebuh raya seharusnya diberikan kepada penunggang motosikal berkuasa rendah kerana jumlah mereka lebih ramai dan kerap menggunakan laluan itu.

Penganalisis Automotif, Gan Yong Li menyuarakan pendapat itu memandangkan kebanyakan penunggang motosikal menggunakan lorong kecemasan ataupun menggunakan lorong-lorong yang sedia ada.

Katanya, cadangan itu juga sukar direalisasikan syarikat konsesi dalam masa terdekat kerana ia akan melibatkan kos yang tinggi.

Penganalisis Automotif, Gan Yong Li.

“Bagi syarikat konsesi yang tidak mengenakan tol kepada motosikal, saya rasa perkara ini mustahil dilakukan, lainlah di Pulau Pinang, sebab di sana motosikal dikenakan tol, jadi mereka perlu menyediakan laluan motosikal lebih selesa.

“Apa yang sepatutnya dinaik taraf terlebih dahulu adalah di kawasan motosikal berteduh sedia ada, iaitu dengan menyediakan ruang yang lebih besar,”katanya ketika dihubungi Buletin TV3, hari ini.

Menurutnya lagi, tidak dinafikan kebanyakan kes kemalangan motosikal berkuasa tinggi berlaku berpunca daripada jalan yang tidak selamat selain berpunca daripada penunggang meletakkan motosikal mereka di lorong kecemasan yang mengundang bahaya pengguna lain.

Foto hiasan

Sementara itu, Gan turut mencadangkan pihak berwajib untuk memberi tumpuan menyelenggara laluan motosikal di jalan-jalan persekutuan terlebih dahulu.

“Kalau kita tengok laluan yang sedia ada melibatkan jalan persekutuan memang ada lorong khas yang disediakan untuk penunggang motosikal tetapi tidak ramai yang menggunakannya kerana faktor keselamatan.

“Antara kekangan yang dihadapi penunggang motosikal termasuk masalah jalan berlubang, jalan licin dan berbahaya, laluan sunyi dan gelap yang menyumbang peningkatan kes samun.

Semalam, media melaporkan syarikat konsesi lebuh raya diminta untuk menyediakan dan menaik taraf kemudahan bagi penunggang motosikal berkuasa tinggi bagi mengurangkan risiko kemalangan kepada penunggangnya.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara itu perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan risiko kemalangan ekoran majoriti kemalangan maut membabitkan pengguna kenderaan berkenaan.

Loading...
Terkini