Tumpuan :
Nasional

Ustaz Wadi Annuar sah akan hadir ke JAIPs, beri kerjasama penuh

FOTO: Ustaz Wadi Annuar / Facebook

KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar dalam satu kenyataan mengesahkan beliau akan hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) pada 2 Mei ini.

Beliau memaklumkan kehadiran ke JAIPs itu susulan program sembang santai dihadirinya di Jalan Abi Batas, Kangar, baru-baru ini.

“InsyaAllah, saya akan memberikan kerjasama penuh sesuai dan selaras dengan kehendak serta peruntukan undang-undang berkaitan.

“Saya berdoa dan bermunajat agar siasatan akan berjalan lancar, adil serta telus melalui proses keadilan tanpa sebarang kacau ganggu, manipulasi atau tekanan mana-mana pihak terutama pihak yang sentiasa mencari salah dan silap dari saya serta mempunyai agenda tersendiri,” katanya.

Beliau juga menggesa pihak yang tiada kaitan dengan JAIPs yang menjalankan siasatan itu supaya tidak mencampuri urusan di luar bidang kuasa mereka yang sudah ditetapkan.

​​​​​​​“Pihak saya sentiasa merujuk kepada nasihat barisan peguam dari semasa ke semasa mengenai perkembangan proses ini. Semoga Allah Taala menzahirkan kebenaran kepada semua.

“Kepada Allah saya berserah,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan JAIPs memanggil pendakwah bebas itu serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan PAS Kangar.

Ia bagi memberi keterangan berhubung penyertaannya dalam program Solat Tarawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, Perlis pada 30 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Ia susulan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri itu.

Loading...
Terkini