comscore
Tumpuan :
Nasional

Ustaz Somad terima Anugerah Murabbi Nusantara Melaka

Ab Rauf menyampaikan Anugerah Murabbi Nusantara kepada Ustaz Abdul Somad sempena Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Stadium Hang Jebat, malam ini. – Foto NSTP

MELAKA: Pendakwah Indonesia, Ustaz Abdul Somad menerima Anugerah Murabbi Nusantara sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, malam ini.

Anugerah yang julung kali diperkenalkan oleh kerajaan Melaka itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sambutan yang diadakan di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini.

Anak kelahiran Asahan, Sumatera Utara, Indonesia berusia 47 tahun itu menerima setanjak dan sijil penghargaan.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.

Pada majlis itu, bekas Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Datuk Dr Mizan Hitam diumumkan sebagai penerima Anugerah Abu Bakar As-Sidiq (Tokoh Maal Hijrah) yang membawa pulang RM10,000, pingat dan selempang anugerah serta sijil.

Selain itu, seramai 13 individu diumumkan menerima anugerah dalam pelbagai kategori yang menyaksikan setiap penerima membawa pulang wang tunai RM3,000, pingat anugerah serta sijil penghargaan.

Anugerah Fatimah Az-Zahra (Tokoh Ibu Inspirasi) diterima Sabariah Adon diikuti penerima Anugerah Uwais Al-Qarni (Tokoh Tunas Harapan), Ahmad Abrar Azraie; Anugerah Abdullah Bin Ummi Maktum (Tokoh Warga Istimewa), Zakaria Yahya dan Anugerah Ibnu Uraiqith (Tokoh Non-Muslim) Chong May Ling.

Anugerah Abdurrahman Bin Auf (Tokoh Usahawan Islam) pula diterima Shafie Ahmad; Anugerah Salman Al-Farisi (Tokoh Aktivis Muslim), Caren Chung Yock Lan; Anugerah Bilal Bin Rabah (Tokoh Pegawai Syarak), Ishak Md Yusof dan Anugerah Imam As-Syafie (Tokoh Pentadbir Masjid), Ismail Othman.

Selain itu, Anugerah Ali Bin Abi Talib (Tokoh Belia Islam), Dr Mohd Nurishaq Mohd Fauzi; Anugerah Mu’adz Bin Jabal (Tokoh Penggerak Masyarakat), Misiah Anuar; Anugerah Keluarga Sumayyah dan Yassir (Tokoh Keluarga Mithi), Ab Karim Daud; Anugerah Hisbah (Tokoh Agensi Penguatkuasaan), Datuk Mohd Shaiful Adli Chung Abdullah dan Anugerah Umar Bin Abdul Aziz (Tokoh Perkhidmatan Awam), Mohd Nasir Bakri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini