Tumpuan :
Nasional

USM sumbang RM20,000 kepada Tabung Kemanusian Palestin Media Prima

Naib Canselor USM Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed (dua, kiri), menyampaikan replika cek Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussain Al Junid (dua, kiri), di WTCKL, semalam.

KUALA LUMPUR: Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini, menyerahkan sumbangan RM20,000 kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap rakyat di negara yang terkesan dengan konflik itu.

Sumbangan disampaikan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima (Media Prima), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid pada Majlis Malam Gemilang Alumni dan Industri USM 2024, di sini, malam tadi.

 

Majlis dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, yang juga Penaung Persatuan Alumni USM.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin.

Abdul Rahman ketika ditemui berkata hasil sumbangan berkenaan dikumpul melalui program ‘USM Fun Ride: Peace for Palestine’ pada 26 Oktober lalu berjumlah RM10,000, manakala baki RM10,000 lagi daripada Tabung Kemanusiaan USM.

“Tahun lalu, ketika perang meletus di Palestin, kita membantu pelajar Palestin yang belajar di USM secara ‘one-off’ melalui Tabung Kemanusiaan USM.

“Pada tahun ini, kita bekerjasama dengan Media Prima untuk memberikan sumbangan kepada pihak yang memerlukan,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Abdul Rahman, berkata ia bertujuan meraikan lebih 200,000 alumni USM yang banyak menyumbang kembali kepada universiti, selain rakan industri yang sentiasa memberi sokongan kepada USM.

“Ke arah kelestarian, kita banyak membantu golongan susah dan dalam kita melakukan aktiviti menaikkan taraf ekonomi komuniti, kita mendapat sokongan kuat daripada rakan industri dan agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Media Prima memaklumkan melalui Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima, syarikat komited melaksanakan inisiatif untuk membantu mereka yang terkesan akibat perang yang berlaku di Palestin, seperti pek makanan, bahan perubatan dan penempatan sementara.

Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman luas dan mempunyai kepakaran untuk menjalankan misi di wilayah terbabit.

“MPB ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang menjayakan inisiatif ini.

“Orang ramai boleh membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima melalui akaun bank Muamalat 1401 0008 8447 15 atau Maybank 5642 7651 0331,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini