comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Usia pesakit diabetes semakin ‘muda’, kenali penyakit ini dan simptomnya

Oleh Azzarouq Zulkiply

Hari Diabetes Sedunia disambut pada 14 November setiap tahun bertujuan memberikan kesedaran orang ramai mengenai diabetes yang mana kelaziman penyakit ini dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat semakin meningkat, dengan anggaran tujuh juta rakyat orang dewasa akan menghidap penyakit diabetes menjelang 2025.

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Teoh Wei Leng, jenis yang paling biasa dihidapi bagi penyakit ini ialah Diabetes jenis 2, yang sejak akhir-akhir ini turut menjejaskan ramai golongan muda.

“Salah satu perkara yang paling membimbangkan ialah usia pesakit yang didiagnosis dengan diabetes kini semakin muda,” katanya.

Berikut merupakan beberapa perkara anda perlu ketahui tentang penyakit diabetes.


 

Apa Itu Diabetes?

Diabetes merupakan satu penyakit kronik apabila pankreas kurang menghasilkan hormon yang mengawal gula dalam darah (insulin).

Selain tidak mencukupi, ia juga berlaku apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan secara berkesan.

Gula dalam darah yang tinggi (hiperglisemia) boleh membawa kepada kerosakan teruk kepada sistem badan, terutamanya saraf dan saluran darah.


 

Jenis – Jenis Diabetes

Terdapat 2 jenis diabetes yang boleh anda kenal pasti:

Diabetes Jenis 1

Dapat dikenal pasti apabila pankreas gagal untuk menghasilkan insulin.

Penghidap penyakit ini memerlukan suntikan insulin kerap untuk pengawalan gula dalam darah.

Lazimnya, diabetes ini berlaku pada golongan kanak-kanak dan remaja dan ia juga boleh dipengaruhi oleh kecenderungan genetik.

Diabetes Jenis 2

Kebiasaannya ia didapati pada golongan dewasa, namun belakangan ini ia turut menjejaskan ramai golongan muda.

Diabetes jenis 2 ini dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin (penolakan terhadap insulin).

Dengan itu, badan akan menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengganti insulin yang gagal, tetapi ia tidak dapat menghasilkan kuantiti insulin yang mencukupi.

Dalam jangka masa lama, diabetes jenis 2 ini juga boleh menyebabkan kerosakan yang serius terhadap badan terutamanya saraf dan saluran darah.

Diagnosis awal merupakan perkara yang penting dalam mencegah kesan diabetes jenis 2.

Perkara yang paling baik untuk dibuat adalah dengan membuat pemeriksaan berkala dan ujian darah bersama doktor atau penyedia penjagaan kesihatan.


 

Cara – Cara Untuk Melakukan Ujian Gula Dalam Darah 

Berikut merupakan cara untuk melakukan ujian untuk melihat bacaan gula dalam darah:

Langkah 1 : Basuh tangan anda menggunakan air suam bersabun dan keringkan dengan bersih.

Langkah 2 : Masukkan jarum bersih (lanset) ke dalam alatan lanset (alatan lanset ialah alat pemegang lancet bersaiz pen). Alat ini mengawal sedalam mana lanset masuk ke dalam kulit.

Langkah 3 : Strip ujian harus dielakkan untuk mengelakkan daripada kelembapan dan terkesan dari strip lain. 

Langkah 4 : Sediakan glukometer dan ikut arahan yang disediakan bersama alat anda. Gunakan alat lanset untuk mencucuk bahagian tepi hujung jari anda menggunakan lanset. (jangan cucuk hujung jari anda kerana ia lebih menyakitkan dan mungkin tidak dapat mengambil darah yang mencukupi untuk buat bacaan). 

FOTO: MyHEALTH/ myhealth.gov.my

Langkah 5 : Letakkan setitik darah di tempat yang betul pada strip.

FOTO: MyHEALTH/ myhealth.gov.my

Langkah 6 : Gunakan kapas yang bersih untuk meletakkan tekanan di tempat jari (atau tempat lain) yang dicucuk untuk menghentikan pendarahan.

Langkah 7 : Ikut arahan glukometer anda untuk mendapatkan bacaan. Sesetengah alat mengambil masa hanya beberapa saat sahaja untuk memberikan bacaan.

FOTO: MyHEALTH/ myhealth.gov.my

Faktor Utama Kencing Manis

Penyakit ini boleh dicegah seawal usia kanak-kanak dan faktor utama yang harus dipantau adalah genetik, gaya hidup serta berat badan.

Genetik

Jika ada dalam kalangan ahli keluarga anda menghidap penyakit kencing manis ini, mungkin anda juga akan mengalami perkara yang sama. Keterlibatan faktor genetik dalam penyakit diabetes ini telah lama dikenal pasti.

Menurut Persatuan Diabetes Amerika, statistik yang berkait dengani faktor ini adalah:

• 1 daripada 7 jika salah seorang daripada ibu bapa disahkan diabetes sebelum umur 50 tahun.

• 1 daripada 13 jika salah seorang daripada ibu bapa disahkan diabetes selepas umur 50 tahun.

• 1 daripada 2, atau 50% jika kedua-dua ibu dan bapa disahkan diabetes.

Bagaimanapun, tahap pengaruh genetik bagi penyakit diabetes ini berbeza bagi setiap orang. Ada yang kuat, sederhana ataupun lemah.

Gaya Hidup

Gaya hidup sihat penting bagi mengurangkan risiko penyakit dalam diri. 

Jika gaya hidup sihat tidak diamalkan risiko untuk menghidap penyakit kencing manis adalah tinggi.

“Selain sejarah keluarga yang menjadi faktor risiko utama penyakit diabetes, beberapa aspek lain menjadi punca dijangkiti masalah obesiti termasuk cara hidup, merokok, tekanan dan kemurungan serta cara pemakanan,” – Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa

Berat Badan

Jika berat badan berlebihan, risiko kencing manis akan meningkat kerana insulin gagal digunakan dengan cekap oleh sel-sel badan. 

Berat badan yang berlebihan ini juga berkait rapat dengan gaya hidup yang harus dipertingkatkan.

Jika pemakanan yang tidak seimbang diamalkan, kemungkinan kalori yang diambil adalah berlebihan daripada yang sepatutnya. 

Ini menyebabkan berat badan tidak dapat dikawal dengan baik dan meningkatkan risiko untuk bukan sahaja kencing manis, malah penyakit-penyakit kronik yang lain.


 

Simptom Diabetes

Berikut merupakan simptom yang mungkin dihadapi oleh pesakit diabetes:

Simptom diabetes jenis 1 

• Kerap membuang air kecil

• Selalu berasa dahaga dan lapar

• Penurunan berat badan mendadak

• Penglihatan jadi semakin kabur 

• Selalu berasa letih dan lesu

Bagi simptom diabetes jenis 2, simptomnya hampir sama dengan di atas, hanya tandanya tidak serta merta dan mungkin mengambil masa lama untuk dikenal pasti.

Jika dibiarkan simptom ini berlarutan, ia akan merosakkan saluran darah di jantung, mata, buah pinggang dan saraf.

Ramai penghidap diabetes mengalami masalah pada anggota kaki akibat kerosakan saraf dan aliran darah yang lemah.

Ini boleh menyebabkan ulser kaki dan lebih teruk menyebabkan amputasi.


 

Cara Mengawal Diabetes

Berikut adalah antara cara bagi mengawal diabetes;

Pengurusan berat badan:

Jika berat badan berlebihan, usahakan pengurangan berat badan secara berperingkat dengan bantuan dan nasihat pakar kesihatan.

Mengawal pengambilan makanan:

Amalkan pemakanan seimbang yang mengandungi karbohidrat kompleks, serat, buah-buahan, sayur-sayuran, protein rendah lemak, dan lemak sihat.

Melakukan aktiviti fizikal:

Lakukan senaman secara berkala, seperti berjalan, berenang, atau senaman aerobik. Senaman membantu menurunkan gula dalam darah dan meningkatkan kadar respon sel terhadap insulin.

Ubat-ubatan:

Dalam beberapa kes, doktor mungkin merawat dengan ubat-ubatan diabetes untuk mengawal gula dalam darah.

Mengawal tekanan darah dan paras kolestrol:

Dapatkan konsultasi pakar kesihatan tentang cara mengawal tekanan darah dan paras kolestrol. Pendidikan mengenai diabetes penting untuk memahami tentang penyakit dan pengurusan yang lebih baik.

Pemantauan gula dalam darah:

Semak tahap gula dalam darah secara berkala dengan menggunakan alat pemantau glukosa darah (glukometer).

Kawal stres:

Stres boleh meningkatkan tahap gula darah. Amalkan teknik penenangan seperti yoga atau meditasi.

Henti merokok, kurangkan alkohol:

Merokok dan alkohol boleh merencat pengurusan diabetes.


Mitos Dan Fakta Diabetes

Berikut merupakan 5 mitos dan fakta mengenai penyakit diabetes yang boleh dikongsikan sempena Hari Diabetes Sedunia:

1. Mitos: Diabetes bukan masalah besar.

Fakta: Diabetes adalah salah satu dari 8 penyakit utama yang mengakibatkan kematian pada orang dewasa. 

Jika dibiarkan, kemungkinan akan menyebabkan komplikasi yang lebih serius dan boleh membawa maut atau memendekkan jangka hayat.

Penderitaan diabetes mungkin lebih besar daripada terkena serangan jantung kerana diabetes boleh menyebabkan kebutaan, kegagalan ginjal berfungsi, amputasi, dan beberapa penyakit lain.

2. Mitos: Penghidap diabetes harus melakukan diet khusus.

Fakta: Diet secara umumnya amatlah bermanfaat kepada semua termasuk penghidap penyakit diabetes. 

Amalan pemakanan diikuti dengan piramid makanan lebih bermanfaat kerana makanan berkhasiat harus mengandung biji-bijian, sayuran dan buah. 

Digalakkan menghindari makanan yang berminyak dan mempunyai karbohidrat olahan serta makanan dan minuman yang penuh dengan kandungan gula.

3. Mitos: Bahan ‘ramah diabetes’ dan ‘bebas gula’ adalah baik bagi penghidap diabetes.

Fakta: Bahan bebas gula kerap mengandungi sejumlah kalori, gula dan karbohidrat. 

‘Sweetener’ selalunya dijadikan alternatif kepada gula dan lebih manis dari gula.

Oleh itu, pengambilan bahan ‘ramah diabetes’ secara tidak terkawal boleh menjadi penyebab pada penyakit diabetes.

4. Mitos: Penyandang diabetes tidak dapat menyumbangkan darah.

Fakta: Penyandang diabetes dapat menjadi penyumbang darah jika kadar gula dalam darah terkawal.

5. Mitos: Penghidap diabetes dapat makan gandum tetap tidak dapat makan nasi.

Fakta: Gandum mahupun nasi mengandungi kadar karbohidrat dan indeks glikemik yang sama. 

Kedua-duanya meningkatkan kadar gula dengan cara yang sama dan perlu dikawal supaya gula dalam darah terkawal.

Tingkat Kempen Kurangkan Gula, didik kesan berlebihan gula terhadap kesihatan (2023)

Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif menerusi Pelan Advokasi Mengurangkan Gula. Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ia termasuk Kempen Kurangkan Gula 2023 dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kesan pengambilan gula berlebihan.

Loading...
Terkini