KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata golongan berumur 35 hingga 44 tahun paling tinggi bankrap, iaitu 13,073 dalam tempoh 2019-2023.
“Dari tahun 2019 hingga 2023 jumlah bawah 25 tahun jadi bankrap 107 orang.
“Paling banyak umur bankrap ialah antara 35 hingga 44 tahun dari tahun 2019 hingga 2023, jumlah dibankrapkan dalam umur kategori tersebut ialah 13,073 orang.
“Sementara bagi mereka 55 tahun ke atas dari 2019 hingga 2023 jumlahnya tak begitu tinggi iaitu 5,297 orang.
“Maknanya orang banyak kata orang muda yang muflis sebenarnya tak sangat, antara umur 35 hingga 44 yang tinggi,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat.
Azalina turut menafikan tanggapan bahawa ramai anak muda bankrap memandangkan hanya 107 individu berstatus demikian melibatkan kumpulan umur bawah 25 tahun dalam tempoh yang sama.
Mengikut pecahan mengikut jantina pula, lelaki paling tinggi bankrap berjumlah 25,104, berbanding perempuan, 8,912 bagi tempoh 2019 hingga 2023.
Beliau juga mengakui daripada jumlah mereka yang bankrap, orang Melayu mencatat jumlah tertinggi, 19,791 dalam tempoh sama.
“Itu sebabnya inisiatif kerajaan membantu golongan bankrap, antaranya pertama peningkatan had muflis dari RM50,000 kepada RM100,000,“ katanya.