KUALA LUMPUR: Usaha menarik lebih ramai pelancong asing perlu dilakukan agensi pelancongan tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2025 (TMM2025).
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata ia susulan beberapa agensi pelancongan tempatan dilihat tidak giat mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan ideal.
Malah sebaliknya agensi berkenaan mempromosikan percutian kepada rakyat Malaysia melancong ke destinasi antarabangsa seperti Korea Selatan, Jepun dan Turkiye.
“Ini secara tidak langsung akan merugikan negara kita. Mereka boleh mempromosikan negara luar, tetapi sekurang-kurangnya mereka juga harus promosikan negara kita sendiri juga,” katanya pada program MITA Inbound Marketplace (MIM23), ibu negara.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dalam satu pertemuan di Putrajaya.
Oleh itu, beliau berharap MIM23 dapat menggalakkan ejen pelancongan tempatan di seluruh negara mempromosikan Malaysia dalam kempen masing-masing dan bersedia dengan aturan program bagi menyambut kedatangan TMM 2025.
MIM23 telah menganjurkan tiga pelan hala tuju yang termasuk untuk memperjuangkan Syarikat Pengurusan Destinasi (DMC) tempatan.
Ia selaras untuk memperkasakan DMC dan membantu mereka untuk berjaya dan berkembang menjelang TMM2025 yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan pengalaman pengembaraan bernilai tinggi kepada pelancong.
Ketika ini, MITA komited mencipta pelancongan lestari tempatan dengan mempromosikan amalan pelancongan yang menyokong komuniti tempatan, memelihara warisan budaya seperti pertunjukan kebudayaan dan melindungi alam sekitar yang menawarkan pengalaman perjalanan yang tulen dan bermakna kepada pelancong.
Di samping itu, katanya, mereka sedang berusaha ke arah menguasai pasaran antarabangsa secara langsung melalui inisiatif digital bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dan membantu pemain pelancongan tempatan untuk berhubung dengan pasaran antarabangsa secara langsung.
“Pihak menteri telah bersetuju dan akan memberitahu kepada agensi di bawah kementeriannya untuk bekerjasama dengan kita, beliau akan mengarahkan jabatan kebudayaan untuk mengadakan satu petunjukkan budaya,” katanya lagi.
Tambahnya, Bali, Indonesia dan Phuket, Thailand, menawarkan pelbagai pertunjukkan kebudayaan pada waktu malam bagi pelancong.