Tumpuan :
Nasional

Usaha, takwa, mulia aspirasi UiTM menuju ‘Universiti Terkemuka Dunia’

Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2025 pada 15 Januari lepas.

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus memberi penekanan kepada nilai teras usaha, takwa, dan mulia sebagai panduan utama dalam usaha mencapai kecemerlangan dan aspirasi menjadi ‘Universiti Terkemuka Dunia’.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, nilai-nilai tersebut penting untuk memperkukuhkan semangat kebersamaan seluruh warga universiti.

Ketika menyampaikan Amanat Naib Canselor 2025 pada 15 Januari lepas, Dr. Shahrin mahu melihat UiTM menerajui pembangunan profesional Bumiputera yang kompeten, dinamik dan berdaya saing.

“2025 menandakan fasa peralihan bagi Pelan Strategik UiTM 2030. UiTM akan memetakan perancangan strategik selari dengan Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi 2025 dan 10 Lonjakan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM 2025-2035),” katanya.

Amanat Naib Canselor ini menekankan tiga teras strategik dan sembilan tema strategik UiTM 2025 termasuk penyediaan bakat terbaik negara, kewibawaan akademia dan warga kampus, pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, governan dan kepimpinan universiti, kemampanan kewangan institusi pengajian tinggi (IPT) dan infrastruktur, digital dan kesejahteraan kampus.

Sementara itu, UiTM turut menetapkan 21 petunjuk prestasi utama (KPI) untuk tahun ini termasuk pengakreditasian program oleh badan profesional (140 program), nisbah penerbitan berindeks seperti Scopus, WoS, dan ERA (1:1.3) dan penjanaan pendapatan universiti (RM478 juta).

“UiTM juga menggalakkan inisiatif seperti eco-tourism di kampus, memperkukuh jentera universiti melalui pemantapan tadbir urus, program kesihatan seperti ‘KPT SIHAT: 10,000 Langkah’ bagi mewujudkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti dan memperkasakan staf dengan semakan semula syarat kenaikan pangkat.

“Melalui fokus strategik tersebut, UiTM optimis untuk menjadi peneraju dalam melahirkan generasi mahasiswa yang beretika, cintakan negara dan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Naib Canselor itu juga menegaskan komitmen UiTM dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi secara proaktif melangkaui angka-angka dalam penarafan universiti.

“Apa yang lebih penting adalah impak positif yang kita mampu hasilkan kepada masyarakat dan negara,” ujarnya.

Amanat itu menjadi pemangkin kepada usaha UiTM untuk mencapai matlamat UiTM 2030, memastikan kesinambungan kecemerlangan selama satu dekad akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini