JERANTUT: Operasi membawa keluar jenazah pendaki wanita yang meninggal dunia semalam, terpaksa ditangguhkan susulan keadaan berawan dan berkabus tebal di sekitar Gunung Reskit, Kuala Tahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azman Mat Kamis, operasi menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dijalankan dua kali iatu pada jam 8.30 pagi dan 3.30 petang.
“Setelah gagal mencari lokasi tepat, helikopter berpatah balik dan mendarat untuk mengisi bahan api di Gua Musang, sebelum mendarat semula di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis pada jam 12.30 tengah hari.
“Penerbangan kedua dijalankan semula pada jam 3.30 petang, namun masih gagal dan berpatah semula ke Kuala Lipis, operasi ditangguhkan pada jam 5.15 petang,” katanya.
Katanya, operasi akan bersambung mulai 7 pagi esok dan dijangka mendarat di Gunung Gedung terletak kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.
Terdahulu, Allahyarham Zahalitha Othman (52) mengikuti program pendakian sejak 1 Februari lalu dan meninggal dunia di Gunung Reskit, Kuala Tahan, dekat sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.