Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan 12 rakyat Malaysia yang menyertai ekspedisi pengembaraan di pergunungan Manali, Himachal Pradesh, India.
Menerusi kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, ia susulan laporan berhubung sekumpulan rakyat Malaysia yang tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga masing-masing berikutan fenomena hujan lebat yang melanda Wilayah Utara India, Ahad lalu.
“Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah dimaklumkan bahawa kumpulan ini sedang menyertai ekspedisi pengembaraan di Hampta Pass, Himachal Pradesh. Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga akan terus memantau perkembangan di Himachal Pradesh,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular untuk berhubung terus dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi melalui nombor telefon +91 85955 50594; e-mel [email protected] dan alamat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India 50-M Satya Marg, Chanakyapuri, New Delhi 110021.
Selain itu, rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan terus berwaspada serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca di setiap lokasi yang dikunjungi.
“Sebarang perkembangan terkini mengenai status rakyat Malaysia yang terkesan dalam kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan hujan lebat yang melanda seluruh utara India mengakibatkan sekurang-kurangnya 22 orang terkorban, selain menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat di wilayah berkenaan.
Selain itu, sekolah di New Delhi juga ditutup berikutan hujan lebat melanda ibu negara pada hujung minggu lalu dan pihak berkuasa di negeri Himalaya Himachal Pradesh dan Uttarakhand mengarahkan orang ramai tidak keluar rumah melainkan perlu.
Sementara itu, banyak daerah di Himachal Pradesh menerima hujan yang menyamai tempoh sebulan dalam masa sehari pada hujung minggu lalu, kata seorang pegawai kanan jabatan cuaca negara tersebut.
Menurut jabatan cuaca, Delhi, Punjab, dan Himachal Pradesh masing-masing menerima 112 peratus, 100 peratus dan 70 peratus lebih banyak hujan daripada purata setakat ini dalam musim tengkujuh ketika ini yang bermula pada 1 Jun lalu.