KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan usaha pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lalu.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Hamid Mohd Amin, berkata selain melaksanakan operasi maritim, aset APMM yang berada di perairan juga secara berterusan melaksanakan operasi mengesan MV Dai Cat 06.
“Operasi mengesan kapal berkenaan dilakukan di Zon Maritim Malaysia yang merangkumi perairan laut wilayah negara di Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
“Operasi yang dijalankan itu membabitkan kapal, bot dan pesawat udara APMM serta pengawasan radar SWASLA secara 24 jam tujuh hari seminggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu, katanya Bahagian Siasatan Jenayah Maritim sedang menyiasat kes ini serta bekerjasama dengan Bahagian Perisikan dalam mengumpul maklumat-maklumat berhubung kes kapal berkenaan.
“Apabila kapal itu berjaya dikesan kelak, APMM akan mengambil tindakan susulan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia yang dipercayai hilang di perairan Indonesia itu pada 14 Januari lalu.
Pada 9 Januari lalu, kapal kargo itu yang didaftarkan di Malaysia itu dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal pada hari sama.
Kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 itu dinaiki lima kru membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.
Difahamkan, nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.
Tiga rakyat Malaysia yang turut serta dalam kapal berkenaan adalah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.
MV Dai Cat 06 berlepas dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lalu.