Tumpuan :
Nasional

Usaha global yang jitu diperlukan, tangani isu perkauman, tiada toleransi dan Islamofobia – PM

Anwar menyampaikan ucapan perasmian ketika program Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Russia dan Dunia Islam – Era Kemunculan Multipolariti di Hotel Mandarin Oriental.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa supaya usaha secara global yang jitu untuk memupuk nilai kasih sayang, keadilan, dan kemanusiaan dalam menangani peningkatan intoleransi, perkauman, dan Islamofobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu-isu berkenaan menjadi cabaran berterusan yang dihadapi dunia Islam dan kemanusiaan secara amnya, termasuk tragedi yang berlaku di Gaza dan kebangkitan fasisme serta perkauman di pelbagai wilayah.

Berucap di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Rusia-Dunia Islam, beliau menekankan bahawa prinsip As-Samud, Rahmah, dan Ehsan atau nilai-nilai toleransi, kasih sayang, dan kemanusiaan harus menjadi panduan negara Islam dalam menangani cabaran global.

“Kita menyangka bahawa dengan pembangunan, kemajuan, dan pengetahuan, akan ada lebih banyak kebijaksanaan dan toleransi. Namun, ini tidak berlaku.

“Ini adalah satu tempoh tragedi yang besar, kita gagal dalam mempertahankan kemanusiaan secara keseluruhan dan terutama dalam kalangan umat Islam, khususnya dari Gaza, dari Eropah yang lalu, serta kebangkitan fasisme, perkauman, intoleransi, dan tindakan yang merendahkan martabat manusia, kekejaman yang dilakukan terhadap manusia, bukan hanya di Palestin dan Gaza khususnya, tetapi juga di negara-negara yang lain,” katanya.

Anwar berkata platform seperti mesyuarat Rusia-Dunia Islam harus digunakan untuk mempromosikan nilai-nilai ini kepada komuniti antarabangsa kerana ia bukan sahaja relevan untuk dunia Islam tetapi juga penting untuk komuniti global.

“Kita mesti bekerjasama untuk menentang kebencian dan ketidaktoleranan, serta memupuk dunia di mana kemanusiaan berkembang melalui saling memahami dan menghormati,” katanya.

Pada masa sama, Anwar juga menekankan peranan pemimpin agama dan politik dalam menangani isu terbabit.

Beliau memberi contoh tindakan pantas Malaysia terhadap insiden-insiden ketiadaan toleransi agama tempatan telah memperlihat komitmen negara ini dalam menegakkan martabat semua agama.

Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia adalah negara majoriti Muslim dan Islam sebagai agama Persekutuan, negara ini menunjukkan bahawa ia mengamalkan dan menegakkan nilai toleransi.

“Pengiktirafan kita bahawa setiap warganegara berhak untuk mengamalkan agama mereka, apa yang diserukan adalah mesej yang konsisten untuk negara-negara lain.

“Kami mengambil semua langkah yang mungkin untuk memastikan umat Islam teguh dalam agama mereka tetapi pada masa yang sama, kami menunjukkan toleransi yang tinggi serta kesabaran dan menghormati martabat lelaki dan wanita daripada semua agama,” jelasnya.

Mesyuarat yang bermula hari ini hingga 12 Disember, dihadiri oleh lebih 200 wakil dari 32 negara, berfungsi sebagai platform untuk meneroka peluang kerjasama global sambil menangani isu-isu mendesak yang dihadapi oleh komuniti Muslim.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Visi Strategik “Rusia – Dunia Islam” dan Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Timbalan Menteri Luar Persekutuan Rusia Andrey Rudenko; Pengarah Jeneral Hal Ehwal Politik di OIC Mohamed Salah Tekaya dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Osman Bakar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini