Tumpuan :
Nasional

Usaha Bawa Pulang 41 Rangka Manusia

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang berusaha membawa pulang semula 41 rangka manusia yang digali di tiga kawasan timbunan cengkerang di Guar Kepah, Kepala Batas untuk pemuliharaan di negeri ini.

Ekskavasi berkenaan dilakukan Ahli Arkeologi British antara 1851 dan 1934 di mana ia kini disimpan di Muzium Natuurhistorisch Kebangsaan di Leiden, Belanda.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) dan pihak berkuasa berkaitan mengenai perkara berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, syarikat Ketua Menteri Diperbadankan (CMI) selaku pemilik tanah Guar Kepah sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan JWN, bulan lalu untuk membincangkan proses penghantaran pulang rangka berkenaan.

Katanya, susulan pertemuan itu, CMI melalui Unit Arkeologi Pulau Pinang (UANPP) sudah menghubungi Pusat Biodiversiti Naturalis di Leiden untuk menentukan status rangka terbabit.

“Kerajaan negeri menerima maklum balas positif dan delegasi dibenarkan melawat (pusat untuk melihat rangka) jika perlu.

“Tuntutan rangka ini daripada pihak berkuasa Belanda akan diteruskan mengikut dasar yang diumumkan oleh kerajaan Belanda, baru-baru ini.

“Ia juga membabitkan inisiatif untuk mengembalikan artifak budaya era kolonial ke negara asal berdasarkan garis panduan baharu dengan melihat keutamaan diberikan kepada objek yang diambil penjajah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pulau Pinang sudah menghantar surat kepada Kementerian Luar pada awal bulan ini untuk mendapatkan bantuan dalam mengadakan pertemuan dengan Kedutaan Belanda sebelum pelan tindakan lanjut diambil.

“Kami menjangkakan rangka itu akan diterima pada 2024 selepas Galeri Arkeologi Guar Kepah dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan canggih untuk menyimpan dan memuliharanya.

“Ini boleh dipercepatkan sekiranya ruang yang sesuai, terjamin dan sesuai boleh diwujudkan untuk menyimpan sementara barang berharga ini sehinggalah siapnya Galeri Arkeologi Guar Kepah,” katanya kepada New Straits Times (NST).

Yeoh berkata, proses penghantaran pulang itu membabitkan banyak pihak bukan sahaja pakar seperti ahli arkeologi dan penyelidik, malah kurator muzium dan kerajaan asing yang memiliki artifak itu serta rangka kerja undang-undang.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan usaha membawa pulang kesemua rangka itu.

“Dengan adanya rangka itu di Malaysia, ia akan memacu industri arkeologi selain menjadi sumber pendidikan dan penyelidikan yang hebat,” katanya-HARIAN METRO

Loading...
Terkini