comscore
Tumpuan :
Nasional

Usaha baiki paip pecah Sungai Paka ambil masa tujuh hari

Paip besar yang patah menyebabkan kira-kira 23,000 pengguna sekitar Paka, Dungun terputus bekalan air.

DUNGUN: Syarikat Air Terengganu (SATU) memaklumkan, insiden paip terputus di Sungai Paka petang semalam, akan mengakibatkan berlaku gangguan bekalan air kepada beberapa kampung.

Dalam kenyataannya, SATU memaklumkan, gangguan bekalan air yang berlaku menjejaskan penduduk beberapa kawasan sekitar Dungun, Bandar Paka, Ketengah Jaya, Felda Kerteh 2 dan Felda Kerteh 3.

Syarikat utiliti itu berkata, dua paip utama berukuran 700 milimeter (mm) yang menyalurkan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bauk ke Bandar Paka terputus ketika kerja pembaikan struktur sokongan paip berkenaan.

“SATU sudah mengambil langkah segera untuk mengurangkan impak gangguan bekalan dengan menampung keperluan Bandar Paka dengan bekalan dari LRA Kampung Kemudi.

“Keperluan ke kawasan Ketengah Jaya, Felda Kerteh2, dan Felda Kerteh3 akan dibantu dengan bantuan alternatif lori tangki,” kata kenyataan itu.

SATU menjelaskan, kerja membaiki paip air yang patah itu dijangka akan mengambil masa selama tujuh hari.

Sepanjang tempoh itu, bantuan alternatif menerusi lori tangki dan tangki statik digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal dan pengguna yang ingin mendapatkan bantuan bekalan boleh menghubungi Careline di 1300-88-2111.

“SATU akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari masa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi di Facebook, Intagram dan sebarang pertanyaan boleh hubungi Careline di atas,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, sebuah kapal tunda bersama tongkang serta sekumpulan pekerja di lokasi dikatakan sedang menggantikan tapak konkrit yang menyokong paip besar terbabit.

Ketika kerja berkenaan dilakukan, paip dikatakan patah menyebabkan sebahagiannya terjatuh ke atas tongkang.

Loading...
Terkini