Tumpuan :
Nasional

‘Usah politikkan isu harga padi, ia perlu penyelesaian menyeluruh demi kebajikan pesawah’

Foto hiasan

ALOR SETAR: Sektor padi dan beras negara berdepan cabaran besar akibat peningkatan kos pertanian, tetapi pada masa sama, harga jualan beras putih tempatan kekal tidak berubah.

Pengerusi MADA Corp, Asmirul Anuar Aris berkata, harga siling beras putih tempatan ditetapkan pada kadar RM26 bagi setiap 10 kilogram selama lebih sedekad, meskipun kos pengeluaran meningkat kepada RM30 bagi berat sama.

Beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi bagi menangani persepsi rakyat terutama pembeli yang terkesan jika berlaku kenaikan pada harga jualan beras.

“Kerajaan Persekutuan tahun lalu, menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 bagi setiap tan, namun sering dibangkitkan isu mendakwa kenaikan itu tidak mencukupi dan menggesa kenaikan kepada RM1,800 per tan.

“Permintaan daripada pengilang dan pemborong pula menyebabkan kenaikan harga beras putih tempatan kepada RM34 hingga RM36 bagi setiap 10 kilogram.

“Ini mungkin menguntungkan petani jika harga belian naik sehingga RM1,800 per tan, namun akan memberi kesan kepada pembeli yang kemudian dijadikan isu politik untuk menyerang kerajaan,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, kira-kira 300 pesawah di Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang mengadakan demonstrasi meminta kerajaan mencari penyelesaian segera berhubung isu belian harga padi memandangkan musim menuai tiba tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ishak Taib, 60, dilaporkan berkata, ketika ini terdapat beberapa kawasan sudah mula menuai dan isu harga padi itu perlu diselesaikan segera.

Asmirul meminta isu belian padi itu tidak dipolitikkan bagi memastikan penyelesaian menyeluruh dapat dilakukan demi menjaga kebajikan pesawah.

Katanya, bantuan dan subsidi diberikan kerajaan kepada petani juga diputar belit, walaupun ia sebenarnya langkah proaktif untuk membantu petani serta industri padi negara.

“Kebelakangan ini kecoh apabila ada segelintir pesawah turut disertai pembangkang cuba mengeruhkan keadaan dengan membuat demonstrasi menuntut kenaikan harga lantai belian padi, sedangkan isu ini sudah dijelaskan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Parlimen,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini