Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Tiada lagi portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) sebaliknya urusan negeri-negeri Borneo itu diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan senarai Kabinet baharunya di sini, berkata, Ahli Parlimen Petra Jaya itu juga dilantik menerajui kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, pecahan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).
“Kerana kita menjadikan urusan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai urusan jemaah menteri secara langsung dan pertanggungjawaban saya dan Fadillah, maka tidak diadakan menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak, ini akan diurus sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri II,” katanya.
Fadillah sebelum ini adalah Menteri Perladangan dan Komoditi yang kini jawatan itu akan dipegang oleh Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam pula disandang Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Anwar mengumumkan NRECC dipecah dua iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dipegang oleh Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad manakala Timbalan Menteri, Datuk Seri Huang Tiong Sii.