Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Permohonan lesen perniagaan bazar Ramadan untuk tahun hadapan akan diselenggara sepenuhnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata langkah tersebut bagi memastikan pengurusan lebih tersusun dan menawarkan tempat serta harga yang lebih kompetitif kepada peniaga.
“Ini adalah untuk memastikan supaya penjaja mendapat tempat dan harga yang lebih kompetetif dan sebenarnya tidak lah seperti apa yang kita dengar iaitu mereka memberi aduan mengatakan bahawa contoh harga bazar ramadan terlalu tinggi dan sebagainya,” katanya selepas menyempurnakan majlis setahun bersama pentadbirannya di ibu negara, hari ini.
Menurut Dr Zaliha, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan syarikat korporat sebagai usaha memastikan bazar Ramadan yang ada bukan sahaja menepati keperluan warga kota, malah memenuhi aspek kebersihan dan keseragaman.
“Bukan hanya lebih cantik dan lebih seragam dengan bab berkaitan kebersihan dan sebagainya akan diambil kira oleh DBKL,” ujarnya
Pihaknya juga sudah mengenal pasti lokasi berkenaan dan mulakan kerja awal bagi memastikan bazar berjalan baik dan lancar.
Sebelum ini, Dr Zaliha memaklumkan DBKL melakukan penstrukturan semula bagi operasi perniagaan bazar Ramadan di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Ia bertujuan memastikan operasi perniagaan sepanjang tempoh berkenaan dapat berlangsung secara lebih tersusun.
Untuk rekod, DBKL telah mengambil alih 44 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi tahun 2025 yang menawarkan 3,707 tapak perniagaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.