TANJUNG MALIM: Pakar rekreasi luar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, tragedi di Sungai Jahang, Gopeng yang meragut nyawa tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah menjadi bukti jelas betapa bahayanya situasi ini jika risiko tidak diurus dengan baik.
“Insiden tragis berlaku semasa satu program ‘team building’ membabitkan aktiviti rafting arus deras. Sungai yang menjadi lokasi insiden ini bukanlah dilanda kepala air sebagaimana yang disangka, tetapi peningkatan taburan hujan yang luar biasa pada bulan November menjadikan aliran air lebih ganas dan mencabar,” ujarnya.
Justeru katanya, aktiviti yang bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama manusia akhirnya bertukar menjadi pengalaman yang penuh kesedihan dan kehilangan.
Beliau berkata, insiden itu sepatutnya menjadi iktibar kepada semua pihak penyedia perkhidmatan, penganjur program serta pihak berkuasa bahawa keselamatan harus menjadi keutamaan bagi mengelak nyawa peserta terkorban.
Beliau yang pernah mewakili negara dalam acara kayak berkata, sememangnya rafting arus deras semakin mendapat tempat sebagai salah satu tarikan utama dalam industri eko-pelancongan Malaysia.
“Sukan rekreasi ini menawarkan pengalaman unik bagi pencinta alam dan penggemar cabaran, malah berperanan sebagai medium pembinaan diri dan pengukuhan kerjasama dalam kalangan peserta tetapi sepatutnya tidak membahayakan nyawa.
Bagaimanapun katanya, kebelakangan ini jumlah kemalangan membabitkan aktiviti rafting arus deras semakin meningkat, mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan risiko.
“Kegagalan menilai keadaan semasa seperti cuaca, arus sungai dan kemampuan peserta seringkali menjadi punca utama kepada kejadian tragis. Selain itu, kecuaian sesetengah penyedia perkhidmatan yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) turut menyumbang kepada risiko ini,” katanya.
Beliau berkata, jika situasi ini dibiarkan, ia bukan sahaja menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan eko, tetapi juga akan meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan kepada peserta dan keluarga mangsa.
Sementara itu Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Mazuki Mohd Yasim berkata, penyedia perkhidmatan rafting arus deras memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan peserta, malah kejadian malang di Gopeng mungkin dapat dielakkan jika beberapa langkah asas dipatuhi.
Beliau berkata, aspek penyelenggaraan peralatan seperti jaket keselamatan, helmet, dan raft perlu memenuhi piawaian keselamatan tertentu, malah pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala wajib dilakukan untuk memastikan peralatan berada dalam keadaan baik.
Penyedia juga, katanya, mesti peka dan menjadikan ramalan kaji cuaca dan taburan hujan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia sebagai panduan wajib sebelum memulakan aktiviti seperti tanda-tanda hujan lebat atau peningkatan paras air, serta jurupandu perlu melalui latihan yang merangkumi kemahiran mengendalikan raft, bantuan kecemasan (first aid), pengurusan risiko dan kemahiran membuat keputusan serta pertimbangan yang tepat.
Katanya, penyedia perkhidmatan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan, termasuk menghadkan jumlah peserta, memastikan mereka memahami risiko selain memberi taklimat keselamatan sebelum aktiviti bermula.
Beliau berpendapat kerajaan perlu mewujudkan sebuah badan pentadbir yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti rafting arus deras di negara ini dan memastikan setiap penyedia perkhidmatan mematuhi standard keselamatan bagi memastikan hanya jurupandu dan penyedia perkhidmatan yang kompeten dibenarkan beroperasi, selain membantu membina keyakinan pelancong terhadap keselamatan aktiviti lasak ini.
Gopeng, terkenal dengan pelbagai produk pelancongan lasak, kejadian seperti ini boleh menjejaskan kepercayaan pelancong untuk kembali dan mungkin mencari destinasi lain yang lebih selamat.
Dengan pendekatan yang sistematik dan bertanggungjawab, industri ini bukan sahaja boleh terus berkembang, tetapi juga menjadi contoh kepada pengurusan pelancongan eko yang selamat dan berkualiti. Keselamatan pelancong bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi.
UPSI katanya, melalui Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) bersedia untuk membantu kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi merealisasikan penstrukturan semula kawal selia berkaitan pengurusan rafting arus deras di Gopeng.
“Akademi ini berperanan dalam menyediakan khidmat nasihat, penyelidikan, serta latihan profesional bagi memastikan pelaksanaan kawal selia yang lebih sistematik, selamat, dan mampan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.