PETALING JAYA: Kawasan bazar larut malam (Uptown) Kota Damansara yang terbakar malam tadi, penuh dengan bahan mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan, berkata pihaknya terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk memadamkan api.
“Keseluruhan (kawasan) Uptown (Kota Damansara ) ini adalah ‘bahan bakar’, ketika pasukan penyelamat sampai api marak dengan besar dan kita terpaksa menggunakan teknik kepungan untuk padam kebakaran,” katanya.
Ahmad Zaidi berkata, siasatan punca kejadian akan dijalankan dan dijangka selesai esok.
Katanya, kawasan kebakaran ini akan ditutup sementara waktu, sehingga siasatan selesai.
Sementara itu, pemilik gimnasium di situ, Mazalan Abdul Manan, 53 berkata, asap tebal bermula dari sebuah gerai merebak hingga ke gimnasiumnya yang ketika itu terdapat 15 pelanggan sedang bersenam.
Beliau lega kejadian tidak berlaku pada hujung minggu.
“Setiap minggu kawasan itu amat sesak dengan pengunjung yang datang membeli pelbagai barangan yang dijual peniaga di bazar berkenaan.
“Jalan-jalan di sekeliling bazar berkenaan selalunya akan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan, bayangkan jika kejadian ini berlaku pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui, di sini, malam tadi.
Mazalan berkata, dia melihat terdapat asap tebal keluar dari kawasan bazar berkenaan, pada jam 8.15 malam.
“Melihat asap itu, saya masuk ke kawasan bazar dan lihat asap itu datang dari sebuah gerai yang terletak berhampiran dengan gimnasium saya,” katanya.
Api katanya merebak dengan pantas ke gerai berhampiran dan bahagian belakang gimnasiumnya.
“Ketika itu terdapat kira-kira 15 orang sedang bersenam dalam gimnasium dan ketika api mula marak, mereka turut sama membantu saya untuk mengeluarkan alat senaman lain. Mereka turut membantu peniaga berhampiran menyelamatkan barangan perniagaan mereka daripada terbakar,” katanya.