comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] UPSR & PT3 tidak akan dikembalikan sehingga 2025 – Menteri Pendidikan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Nibong Tebal: Keputusan sama ada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) wajar dikembalikan atau tidak akan dibuat selepas pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM).

PPPM yang dilancarkan pada 2013, bakal tamat pada 2025.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, laporan pelan itu akan menjadi panduan sama ada dua peperiksaan berkenaan sesuai untuk dikembalikan semula atau sebaliknya.

Katanya, setakat ini pendirian Kementerian Pendidikan (KPM) adalah ingin memperkukuhkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi penambahbaikan, kemajuan dan potensi pelajar berbanding peperiksaan.

“Jika kita tengok PBS ini adalah sebagai proses ansur maju kanak-kanak, maknanya kita lihat secara holistik (menyeluruh) yang ia tidak tumpu kepada satu aspek sahaja.

“Pendirian KPM sekarang adalah nak kukuhkan PBS yang sedia ada melalui pengenalan ujian akhir akademik dan bukan macam UPSR atau PT3 yang tidak mahu terlalu fokus kepada peperiksaan.

“Jadi dalam hal ini, kena bagi sedikit ruang dan masa, kita akan lihat hasil pembentangan Pelan Pembangunan Pendidikan,” katanya yang ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, isu berhubung dua peperiksaan itu melalui proses perbincangan yang sangat panjang, membabitkan pemegang taruh, guru dan ibu bapa.

“Sebarang keputusan untuk kembalikan peperiksaan kena rujuk kepda fakta dan data, bukan kepada kecenderungan sedia ada,” katanya.

Portal media sebelum ini melaporkan ada ibu bapa yang menyuarakan hasrat mahu peperiksaan UPSR dan PT3 dikembalikan semula kerana bimbang nasib anak mereka yang seolah-olah ‘lost generation’ pasca Covid-19.

Loading...
Terkini