Tumpuan :
Nasional

UPSI, UKM meterai MoU bersama INTAN perkukuh pendidikan tinggi melalui APEL

Prof Md Amin (kiri), Dr Zabri (tengah) dan Prof Abdul Halim memegang dokumen perjanjian.

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bagi memperkukuh pendidikan tinggi melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL).

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama strategik itu adalah langkah penting untuk menyediakan laluan pendidikan fleksibel dan inklusif kepada penjawat awam.

“Melalui kerjasama ini, penjawat awam berpeluang mengiktiraf pengalaman kerja mereka sebagai kredit pengajian bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Pendidikan (EdD).

“Ini bukan sahaja memendekkan tempoh pengajian, tetapi juga mempermudahkan akses kepada pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, langkah itu juga menyokong pembangunan modal insan dengan menawarkan laluan pembelajaran yang sesuai untuk meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik penjawat awam.

MoU tersebut turut memberi tumpuan kepada beberapa komponen utama, antaranya promosi laluan APEL, perkongsian kemudahan dan pembangunan modul.

Tambah beliau, setakat ini, UPSI menawarkan pelbagai program pascasiswazah melalui laluan APEL, termasuk program dalam Seni Persembahan, Sains Sukan, dan Doktor Pendidikan (EdD).

“Program-program ini direka untuk memenuhi keperluan sektor awam dan industri, dengan memfokuskan kepada pengajian fleksibel seperti mod kerja kursus dan mod campuran.

Selain penjawat awam, program ini turut menyasarkan pekerja sektor swasta dan orang awam, dengan inisiatif ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ bagi meningkatkan kebolehpasaran serta memudahkan peralihan kerjaya.

“UPSI komited memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi melalui laluan APEL, sejajar dengan aspirasi universiti sebagai peneraju kebitaraan pendidikan.

Dalam majlis menandatangani MoU itu, UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor.

Sementara itu Pengarah INTAN, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff menyifatkan kerjasama ini menunjukkan komitmen UPSI, UKM dan INTAN dalam menyokong agenda kerajaan untuk membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuhkan daya saing sektor awam dan swasta di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini