Tumpuan :
Nasional

UPSI salur bantuan pendidikan kepada 5,387 murid di Perak

Khairudin bersama penerima peranti dan Modul 3M di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. – Foto ihsan UPSI

KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan kepada 5,387 murid di Perak sebagai usaha memperkasa pendidikan di Perak.

Menerusi Program Anak Kita (PAK), 1,874 murid dari 141 sekolah menengah dan 3,513 murid dari 104 sekolah rendah menerima bantuan berbentuk kit peranti, modul pembelajaran, kelas bimbingan, serta pelan internet percuma selama setahun bagi pelajar sekolah menengah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah, program itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses tanpa halangan teknologi atau kewangan.

“Program ini diharap dapat meningkatkan prestasi akademik murid serta menyediakan sokongan kepada guru pemulihan melalui modul dan guru bitara.

“Program Anak Kita adalah inisiatif Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang diterajui oleh Pantau Madani dan Yayasan Hasanah untuk menangani isu pemulihan pembelajaran di kalangan murid sekolah rendah dan menengah.” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas, menyatakan bahawa program ini selari dengan agenda Reformasi Pendidikan oleh KPM, yang memberi fokus kepada enam aspek utama: Pendidikan Digital, Bahasa (MBMMBI), Intervensi Kurikulum, Pendidikan STEM, Pendidikan TVET, dan Pendidikan Prasekolah.

“Melalui Program Anak Kita, 1,874 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Negeri Perak menerima peranti tablet, memberikan peluang lebih baik untuk pembelajaran digital. Selain itu, murid pemulihan di 104 sekolah turut menerima lima naskah modul pemulihan kemahiran,” katanya.

Pada masa sama, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, menjelaskan bahawa UPSI diberi mandat bukan sahaja di Perak, tetapi juga di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, dan Sabah untuk melaksanakan PAK SPM.

“UPSI komited membantu meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan menjadi pemacu pembangunan negara. Program ini adalah inisiatif terbaik kerajaan untuk memastikan tiada murid tercicir dalam pendidikan,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini