Tumpuan :
Nasional

UPSI, Kanazawa University meterai MoU fokus aspek Pembangunan Manusia

Prof Datuk Dr. Md Amin (enam dari kiri) dan Prof Noriko ( tujuh dari kanan) bertukar cenderamata selepas menandatangani MoU di Kanazawa University, Tokyo hari ini. FOTO: Ihsan UPSI

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kanazawa University, Ishikawa, Jepun  bagi memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi  kedua-dua institusi.

Majlis yang berlangsung di Kanazawa University itu menyaksikan MoU ditandatangani oleh Naib Presiden Kanazawa University, Professor Noriko Hasebe, dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin bin Md Taff.

Prof Noriko Hasebe berkata Kanazawa University sentiasa terbuka untuk menerima masyarakat tempatan dan global bagi menjalankan penyelidikan khusus dalam bidang pendidikan.

Jelasnya, Kanazawa University mempunyai perjanjian persefahaman dengan 341 institusi dari 363 buah negara serta mempunyai 824 pelajar antarabangsa pelbagai peringkat yang belajar di universiti tersebut.

“Contohnya, Profesor Atsuro Tsutsumi dari Institut Sains Transdiskriminasi Inovasi menjalankan penyelidikan bersama UPSI sejak tahun 2016,” katanya.

Katanya, melalui program pertukaran pelajar seperti Program Latihan Bahasa dan Budaya Jepun dan Kanazawa University Short-term Exchange Program (KUEP) akan lebih memperkasakan kecemerlangan pelajar pada masa akan datang.

Sementara itu, Prof Datuk Dr.Md Amin berkata MoU yang ditandatangani lebih memfokuskan terhadap pembangunan manusia, kesihatan mental, dan psikologi pendidikan selaras dengan kekuatan Universiti Kanazawa dalam penyelidikan dan inovasi pelbagai disiplin.

Merealisasikan matlamat itu, katanya, kedua-dua institusi akan menyediakan peluang kepada pelajar dan kakitangan dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan latihan.

“Kerjasama program mobiliti antarabangsa menerusi  pertukaran pelajar dan  program-program akademik  antara UPSI dan Kanazawa University pada masa akan datang akan berlangsung dalam konteks budaya Malaysia-Jepun yang unik dan teknologi pendidikan yang tinggi.

“UPSI diiktiraf dalam menawarkan pendidikan yang inklusif dan holistik khususnya dalam bidang kaunseling, psikologi, pendidikan khas, pendidikan awal kanak-kanak, pedagogi dan kurikulum, bahasa dan sebagainya.

Kita membayangkan kerjasama ini akan menjadi platform untuk menjana idea-idea baharu yang menyumbang kepada wacana global mengenai pendidikan, kesihatan mental, dan pembangunan manusia bagi menangani cabaran-cabaran kontemporari di sekolah iaitu isu pendidikan digital dan kesihatan mental,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini