comscore
Tumpuan :
Nasional

UPSI jalin kerjasama dengan Xi’an University

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff (tengah) menyerahkan cenderamata kepada Presiden Xi’an University, Profesor Dr. Chen Gang.

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh usaha dalam meningkatkan lagi kecemerlangan akademik dan pengiktirafan universiti di peringkat antarabangsa menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi luar negara.

Terbaru, UPSI menerima kunjungan delegasi dari Xi’an University, China, sebagai satu inisiatif bertujuan memperkukuhkan jalinan kerjasama dan komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan pemahaman silang budaya.

Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Presiden Xi’an University, Profesor Dr. Chen Gang itu disambut oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof Dr. Suriani Abu Bakar; serta Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed bagi menjayakan pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI hari ini.

Turut serta dalam delegasi dari Xi’an University itu ialah Timbalan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Akademik, Profesor Dr. Fu Hongbing; Timbalan Dekan Pusat Pengajian Seni, Profesor Dr. Dong Hongjie dan pegawai Pejabat Pengambilan Pelajar, Mr. Ding Ding, Mr. Mao Yadong, serta Ms. Qin Jing.

Menurut Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff, UPSI berhasrat untuk meneroka peluang kolaborasi bersama Xi’an University, China dalam meningkatkan lagi tahap kecemerlangan akademik mahasiswa UPSI serta memperkasakan pemahaman silang budaya.

Beliau berkata kunjungan delegasi UPSI ke Xi’an University, China pada 27 hingga 30 Oktober yang lalu adalah peristiwa penting bagi pihak UPSI dalam meningkatkan jalinan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak.

“Menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah ditandangani dahulu membuktikan bahawa UPSI komited dalam mengorak langkah lebih jauh bagi merealisasikan penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Pembelajaran Pelajar UPSI-China di Xi’an.

Melalui MoA yang ditandatangani, katanya, UPSI berharap agar dapat meneroka lebih banyak peluang kerjasama, meningkatkan peluang proses pertukaran pelajar serta meningkatkan projek penyelidikan kolaboratif yang bakal memberi manfaat kepada komuniti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini