TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan Kad Budi Bitara, satu inisiatif khas sempena Majlis Jasamu Dikenang UPSI 2024, sebagai tanda penghargaan kepada pesara universiti itu atas sumbangan dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pelancaran Kad Budi Bitara itu menjadikan UPSI, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama mengambil langkah proaktif dalam menghargai jasa pesara yang menyumbang bakti kepada pembangunan institusi.
“Kad ini adalah simbol penghormatan dan tanda penghargaan kami terhadap komitmen tinggi para pesara yang telah berkhidmat demi kecemerlangan universiti.
“Mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan UPSI dan kami berharap kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat kepada mereka.
Jelas beliau, kad itu bakal menawarkan pelbagai kemudahan eksklusif termasuk akses kepada perkhidmatan perpustakaan, kemudahan sewaan fasiliti di UPSI dan Universiti Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) pada kadar kakitangan serta akses ke fasiliti di kedua-dua kampus UPSI seperti kolam renang, gelanggang bowling, gimnasium dan pelbagai kemudahan lain.
“Kad Budi Bitara yang diberikan kepada semua pesara UPSI adalah pengiktirafan kepada dedikasi mereka dalam memperkasakan sektor pendidikan dan pembangunan universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi pelancaran Kad Budi Bitara sempena Majlis Jasamu Dikenang 2024 bertempat di Muallim Ballroom, Scholar Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, semalam.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga menunjukkan komitmen universiti untuk terus membina hubungan yang erat dengan kalangan pesara walaupun mereka tidak lagi bertugas secara aktif.
“Pesara adalah sebahagian daripada keluarga besar UPSI, dan kami mahu memastikan mereka sentiasa merasa dihargai dan diberi keistimewaan dalam menikmati kemudahan yang universiti tawarkan.
Menurut beliau, antara inisiatif yang diwujudkan adalah sumbangan kepada pesara seperti sumbangan ke hospital sebanyak RM100, sumbangan kematian sebanyak RM300 dan sumbangan penyakit kritikal sebanyak RM1,000.
“Inisiatif kedua adalah penyediaan ‘Wall of Fame’ yang sedang dalam proses untuk penyediaan spesifikasi dan draf reka bentuk akhir yang dijangka siap pada Mac tahun ini.
“Wall of Fame ini akan memaparkan ukiran nama-nama pesara di atas kayu yang akan kekal dipamerkan di sekeliling ruang legar Aras 1 bangunan Canselori,” tambahnya.
Majlis Jasamu Dikenang 2024 dihadiri lebih 100 pesara serta ahli keluarga mereka, selain diserikan dengan persembahan seni dan penyampaian anugerah serta cenderamata kepada pesara UPSI.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.