![](https://media.buletintv3.my/2024/02/BULETIN-TV3-2024-02-22T194943.053.jpg)
TANJUNG MALIM: Demi memajukan sukan negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) menjalinkan kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN).
Perbincangan dua hala yang berlangsung Selasa lalu memfokuskan kepada kepakaran tenaga pengajar dan fasiliti sukan yang boleh ditawarkan serta kecemerlangan UPSI ke arah menjadi Pusat Satelit ISN.
Majlis kerjasama antara ISN dan UPSI yang diadakan di Kampus Sultan Azlan Shah itu dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin.
Menurut Profesor Datuk Dr. Md Amin, kerjasama itu membolehkan UPSI menimba pengalaman dari ISN terutama dalam pengurusan penyelidikan yang melibatkan atlet.
“Menerusi kerjasama ini juga, UPSI dapat menyediakan kurikulum program termasuk cadangan dual program, kepakaran tenaga pengajar dan tawaran program pendidikan di UPSI khusus kepada atlet untuk menjadi guru demi kecemerlangan sukan,” katanya.
Menerusi kerjasama ini, UPSI, dan FSSK merancang menjadikan UPSI sebagai Pusat Satelit ISN.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.