comscore
Tumpuan :
Nasional

UPNP tumpaskan aktiviti perlombongan bauksit tanpa lesen

Dua jengkaut dan tiga lori dirampas dalam aktiviti perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan yang sah di satu lokasi berdekatan KotaSAS, di Kuantan. FOTO / Facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya menumpaskan aktiviti perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan yang sah di satu lokasi berdekatan KotaSAS, di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan maklumat, sepasukan lapan anggota Pasukan Elit UPNP yang sedang melakukan rondaan di sekitar daerah Kuantan terlihat aktiviti terbabit kira-kira jam 2.15 petang.

Katanya, anggota UPNP kemudiannya melakukan intipan dan melihat aktiviti perlombongan itu yang menggunakan dua jengkaut dan tiga lori sebelum serbuan dilakukan.

“Pegawai Penguatkuasa UPNP kemudiannya meminta pengusaha lombong itu mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral terbabit, namun gagal.

“Seterusnya, Pegawai Penguatkuasa UPNP bertindak dengan menahan enam lelaki serta menyita dua jengkaut dan tiga buah lori di lokasi kejadian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, Wan Rosdy menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara tidak sah atau apa juga aktiviti yang menyalahi peraturan yang ditetapkan.

“Kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan yang tegas tanpa sebarang kompromi supaya aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dibenteras dengan sehabis-habisnya,” katanya.

Loading...
Terkini