PUTRAJAYA: Cadangan menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya, iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemuka kepada Jemaah Menteri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata beliau akan membawa cadangan itu ke mesyuarat Kabinet tidak lama lagi, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
“Saya berhasrat begitu sebab dulu asalnya memang nama Universiti Putra Malaysia ialah Universiti Pertanian Malaysia. Untuk kembali nama kepada Universiti Pertanian Malaysia, saya ingat sesuai.
“Barangkali masa tukar nama dulu kita tidak fikir isu perubahan iklim. Jadi, sekarang pertanian sudah jadi isu dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semua bincang pasal pertanian,” katanya selepas menyampaikan ucaptama dan menjadi moderator pada sidang selari tujuh Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS) bertajuk ‘Keterjaminan Makanan’ yang diselaraskan oleh UPM di sini semalam.
Nama universiti itu ditukar daripada Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada April 1997 bagi menggambarkan status UPM sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan saja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian, sebaliknya pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat.
UPM yang kini mempunyai 14 fakulti pengajian menawarkan pelbagai program pengajian berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.