Tumpuan :
Nasional

Unsur kecuaian punca bayi 4 bulan maut di taska – Polis

SHAH ALAM: Polis mengesan unsur kecuaian yang menyebabkan kematian bayi lelaki berusia empat bulan dalam kejadian di sebuah taska dekat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya kini menunggu keputusan analisa makmal untuk mengesahkan punca kematian mangsa bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan masih berjalan dan setakat ini terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh masa yang lama tanpa pemantauan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Akmalrizal turut memaklumkan bahawa pihak polis telah mengambil keterangan daripada enam individu, termasuk pengasuh yang disyaki terlibat.

“Kertas siasatan sudah dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Terdapat beberapa arahan yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwaraya,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan bayi lelaki berusia empat bulan itu meninggal dunia selepas dihantar ke taska berkenaan pada Jumaat lalu. Polis menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 3.29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik, memaklumkan bayi tersebut dibawa oleh seorang pengasuh dalam keadaan pucat kebiruan pada bibir dan kaki, tanpa nadi, nafas, atau pergerakan mata.

Siasatan juga mendapati taska berkenaan tidak berlesen, namun sedang dalam proses permohonan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim, mengesahkan bahawa taska tersebut diarahkan tutup pada Selasa, 7 Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini