Oleh Azizi Majid
KOTA TINGGI: Semua universiti awam, politeknik dan kolej komuniti yang terlibat dengan musibah banjir disaran untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, ‘mod asynchronous’, hibrid atau tangguhkan PdP mengikut tahap keseriusan bencana yang dihadapi di kawasan masing-masing.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bencana banjir hingga kini memberi kesan kepada lebih 5,000 pelajar dan kakitangan KPT.
Daripada jumlah itu 5,268 adalah pelajar dan 136 kakitangan termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Politeknik Hulu Terengganu.
“Pihak universiti, politeknik dan kolej komuniti yang terjejas telah dinasihatkan untuk memberikan keanjalan aktiviti pengajaran dan pembelajaran P-d-P sama ada secara dalam talian, ‘mod asynchronous’, hibrid atau tangguhkan PdP mengikut tahap keseriusan bencana yang dihadapi di kawasan masing-masing.
“Langkah itu diambil susulan kejadian banjir Monsun Timur Laut yang melanda negara terutamanya di negeri-negeri di Pantai Timur,” katanya selepas solat jumaat dan makan bersama jemaah di Masjid Air Tawar 2, di sini petang tadi.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, KPT telah meluluskan serta merta peruntukan banjir sebanyak RM2 juta untuk bantuan dan kebajikan warga, jabatan/agensi di bawah kementerian, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
Tiga fasiliti KPT telah didaftarkan sebagai pusat pemindahan sementara iaitu Kolej Komuniti Bentong, Pahang, Politeknik Mersing, Johor dan Politeknik Kok Lanas, Kelantan.
Seramai 7,741 sukarelawan terdiri daripada 726 staf dan 7,015 pelajar dari seluruh negara turut digerakkan bagi mengedarkan bantuan kotak makanan, pakaian, wang tunai, peranti dan kit kebersihan.
Bagi memantau keadaan banjir secara menyeluruh, satu Bilik Gerakan Banjir di peringkat KPT telah diaktifkan bermula 18 November yang beroperasi 24 jam sehari selain bilik gerakan di setiap universiti awam.