KOTA SAMARAHAN: Universiti awam di negara ini diminta untuk bersedia berkongsi kejayaan dan hasil penyelidikannya dengan universiti awam lain di negara ini.
Ia bagi membolehkan bidang kajian itu terus ditingkatkan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkongsian ilmu antara universiti itu adalah selari dengan pendekatan kementerian dalam menggembleng segenap kekuatan setiap universiti sebagai penyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara.
Ujarnya, untuk menjayakan perkara itu, aspek keserakanan antara setiap pendidik sebagai satu pasukan penting bagi menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan negara dalam bidang akedemik, teknologi dan ekonomi.
“Kita harus bekerja dengan kaedah itu kalau tidak akan berlaku pertindihan dan pembaziran sumber yang seterusnya akan merugikan kita.
Dekat Unimas mungkin ada 10 orang yang hebat. Dekat Universiti Malaysa ada lima. Dekat Universiti Sains Malaysia ada berapa?
Kenapa tidak kita gembelengkan untuk kebaikan negara? Harap fahamlah maksud saya. Inilah yang kementerian akan buat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja rasmi ke Universiti Malaysia Sarawak, Unimas di sini.
Antara yang turut serta dalam lawatan itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima yang juga Ahli Lembaga Pengarah Unimas, Datuk Seri Syed Hussian AlJunid.
Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, Unimas yang mempunyai kepakaran dan kekuatan dalam bidang kajian biodiversiti mungkin boleh mengetuai institut biodiversiti yang ditubuhkan dalam universiti awam lain bagi membolehkan kajian lebih menyeluruh dilakukan dalam bidang berkenaan.
Jelasnya, K-P-T akan mengkaji cadangan untuk insiatif berkenaan seterusnya menentukan hala tuju dalam perkara terbabit.
“Adalah perlu untuk kita mengembeleng segala kekuatan dan memastikan penyelidikan dilakukan secara bersepadu untuk kita dapat melahirkan perkara-perkara yang boleh memberi impak yang besar dan bermakna kepada negara dari sudut penyelidikan,” katanya.