comscore
Tumpuan :
Nasional

Unit Pemusnah Bom periksa objek mencurigakan bawah kereta Siti Kasim

Foto: Tangkap layar Facebook Siti Kasim

KUALA LUMPUR: Polis sedang memeriksa satu objek mencurigakan disyaki bahan letupan ditemui di bahagian bawah kereta milik peguam, Siti Kasim.

Bahan itu ditemui ketika peguam terbabit menghantar kereta jenis Toyota Celica miliknya untuk diselenggara di pusat servis dekat Jalan Maarof, di sini.

Objek mencurigakan itu dikesan seorang mekanik selepas kereta berkenaan diangkat oleh mesin sebelum ditemui di tayar belakang.

FOTO: NSTP

Siti Kasim atau nama sebenarnya, Siti Zabedah Kassim, berkata dia menyedari objek yang diletakkan di bahagian tayar itu ketika menghantar kenderaannya itu ke pusat servis pada jam 12 tengahari tadi.

“Terdapat dua botol mineral yang disangkut di bahagian belakang tayar kereta dan ketika ini kereta masih di bengkel dan tidak dapat berbuat apa-apa.

“Saya sudah menghubungi polis menerusi panggilan 999 dan memberitahu ini adalah ancaman bom,” katanya.

Siti Kasim berkata, dia menghantar kenderaannya itu untuk diselenggara kerana mahu ke Kelantan bagi menyelesaikan isu orang asli di sana.

“Saya diberitahu pemilik bengkel berkenaan dan bertanya apa sudah jadi dengan kereta saya, saya kemudian melihat gambar yang dihantar kepada saya dan sangat terkejut.

“Pihak polis kini sudah hadir dan orang ramai yang berada di pusat servis berkenaan diarahkan keluar,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Sementara itu di lokasi kejadian, polis menutup pusat servis berkenaan dengan kawalan ketat, selain memasang pita kuning sepanjang 100 meter di kawasan berhampiran pusat servis.

Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memeriksa kereta Toyota Celica milik peguam berkenaan.

Turut berada di lokasi kejadian adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Loading...
Terkini