comscore
Tumpuan :
Nasional

Unit Pantau MADANI teliti keberkesanan inisiatif kerajaan – PM Anwar

PUTRAJAYA: Sebuah unit Pantau Madani akan diwujudkan bagi meneliti dan memastikan semua pengumuman yang dilakukan Kerajaan Perpaduan dilaksanakan sekali gus memenuhi matlamatnya.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim unit tersebut akan diletakkan di bawah pengawasan jabatan beliau sendiri.

“Akan ada satu unit yg penting di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan pantau pelaksanaaan selain daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan jabatan-jabatan lain, saya akan pastikan supaya kita dapat laksanakan Program Pantau Madani untuk apakah kita dapat memenuhi matlamat yang telah diumumkan. Jangan pengumuman itu memukau dan menarik tapi pelaksanaan itu hambar,” ujarnya dalam Wawancara Khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di TV3.

Beliau turut menjemput orang ramai untuk menilai sendiri prestasi Kerajaan Perpaduan menerusi Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang dijadualkan pada 8 hingga 10 Disember ini.

Program bertempat di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, ibu negara itu bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat.

Ia juga bagi meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan, serta membina kepercayaan serta keyakinan antara Kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Program ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai Kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini