Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PETALING JAYA: Tidak timbul sebarang masalah atau isu mengenai uniform jururawat di hospital dan klinik-klinik kesihatan seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (Malayan Nurses Union) MNU, Nor Hayati Abd Rashid berkata, saiz uniform setiap jururawat di hospital dan klinik kerajaan mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bukan setakat itu sahaja, katanya, ia turut melalui konsultasi yang ketat sebelum dikeluarkan.
Namun ujarnya, ia terletak kepada individu itu sendiri untuk mengelakkan diri daripada memakai uniform yang terlalu ketat.
“Berkenaan dengan uniform jururawat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebenarnya yang ada pada masa sekarang ini, mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kerana dalam membuat pakaian jururawat ini, ada peraturannya, tidak boleh ketat dan sebagainya.”
“Jika kita perhatikan, dari tahun 80-an, kita masih gunakan skirt. Tetapi pada hujung tahun 80-an, kita telah merubah keadaan ini kepada seluar panjang, termasuk kepada yang bukan muslim juga”. katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Tambahnya, ketua jururawat dan penyelia jururawat juga harus menasihatkan jururawat sekiranya mereka mendapati jururawat-jururawat di bawah mereka memakai pakaian yang tidak menepati standard KKM.
“Bagi soal pemakaian di hospital tertentu pula, itu bergantung kepada institusi itu sendiri. Walau bagaimanapun untuk KKM, pakaian untuk jururawat adalah seragam di semua hospital dan klinik-klinik kesihatan.”
“Jadi soal ketat atau tidak mematuhi standard dan peraturan seharusnya tidak timbul.”
Terdahulu, ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor menyifatkan, kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah.
Selain itu, beliau turut meminta kerajaan khususnya KKM mengambil contoh hospital yang memberi pilihan kepada kakitangan wanita untuk mengenakan pakaian yang lebih sesuai.