comscore
Tumpuan :
Nasional

UNICEF terkejut, bimbang 402 kanak-kanak jadi mangsa aniaya, dera seksual

Oleh: Nurin Aisha Azizi

KUALA LUMPUR: UNICEF menerusi hantarannya di laman sosial meluahkan rasa terkejut dan bimbang mengenai kes penganiayaan, penderaan seksual serta pengabaian terhadap 402 kanak-kanak di beberapa pusat kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan.

Wakil UNICEF di Malaysia, Robert Gass berkata, pihaknya percaya bahawa kanak-kanak terbabit mengalami trauma yang teruk selain memerlukan sokongan dari aspek perubatan dan psikososial.

“Kami memuji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa negara atas usaha mereka menyelamatkan kanak-kanak ini dan berharap ia menandakan permulaan proses penyembuhan mereka.

“Namun, selagi kanak-kanak tinggal di tempat penjagaan institusi yang tidak diatur, mereka tetap terdedah kepada penganiayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dasar toleransi sifar terhadap kekerasan ke atas golongan itu adalah penting kerana setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran keluarga yang penyayang.

Tambahnya,  UNICEF menyokong kehadiran pekerja sosial yang berkelayakan untuk memantau rumah kebajikan berkenaan dan komited untuk membantu kerajaan dalam melindungi kanak-kanak, selain menghargai komitmen pekerja sosial dalam mencegah perpisahan keluarga yang tidak perlu.

Semalam, polis telah menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja terbabit berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu sidang media di Kuantan dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini