Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan untuk mengadakan perjanjian bersama Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya itu di negara ini terhadap pelarian dan pemohon suaka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia selaras Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1950.
Beliau berkata, UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap golongan terbabit selaras mandat dan fungsi penubuhan, serta tidak meletakkan beban pengurusan pelarian semata-mata terhadap kerajaan atau komuniti rakyat tempatan.
“Kerajaan menghormati mandat penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung PBB 1949 dan Resolusi 428 (V) Perhimpunan Agung PBB 1950. Namun, perlu diingatkan bahawa Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.
“Atas prinsip-prinsip nilai kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan golongan ini untuk berada sementara di dalam negara sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan amat mengambil berat terhadap kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti yang dijalankan oleh segelintir pelarian dan pemohon suaka yang bertentangan dengan norma kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat, sekaligus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan.
Menurutnya, jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad UNHCR meningkat ketara iaitu daripada 75,617 orang pada 2009 kepada 185,760 orang sehingga Mac lalu.
Daripada jumlah itu, 160,332 orang (86.3%) adalah pelarian Myanmar dan 107,433 orang (67.0 %) etnik Rohingya.
Sementara itu, antara pelarian yang berada di negara ini termasuk Pakistan (7,109 orang), Yemen (3,466 orang) Afghanistan (3,444 orang), Somalia (3,161 orang) dan Syria (3,161 orang).
“Kerajaan akan memberikan penekanan terhadap perancangan dan usaha mengukuhkan peranan di dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.
“Kluster itu adalah Mekanisme Pengurusan Pelarian Dan Pemohon Suaka melalui penubuhan jawatankuasa dan pasukan petugas khas, Penentuan Status Pelarian, Penguatkuasaan Undang-Undang kepada Pelarian Dan Pemohon Suaka serta Sistem Sokongan Sosial hanya kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan,” katanya.
Zahid berkata, mesyuarat juga mengambil maklum terhadap tindakan UNHCR mendaftarkan 948 orang yang didakwa pelarian daripada Indonesia atas alasan berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui negara berkenaan tidak mengalami krisis kemanusiaan.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang didapati bersekongkol dengan ejen-ejen pemerdagangan manusia menyeludup masuk pelarian dan pemohon suaka ke negara ini,” katanya.