NEW YORK: Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata Malaysia menekankan keperluan tanggungjawab bersama untuk merapatkan jurang perbezaan di antara negara-negara Selatan dan Utara demi memastikan tiada sesiapa yang terpinggir, dan tiada sesiapa yang tertinggal.
Berucap ketika menyampaikan Kenyataan Malaysia di Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2023 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(UNGA) ke-78 di sini, Zambry berkata Malaysia telah mengetengahkan beberapa inisiatif untuk merancakkan tindakan SDG, termasuk pembasmian kemiskinan dan peralihan tenaga yang adil.
Antara pendekatan utama untuk mempercepatkan Agenda 2030 adalah melalui penyetempatan SDG di peringkat akar umbi.
Zambry berkata Malaysia telah berpeluang berkongsi amalan terbaik dalam hal ini di acara sampingan semasa program Hujung Minggu untuk Tindakan SDG yang telah diadakan di sela-sela UNGA 78.
“Saya turut menyatakan bahawa pembasmian kemiskinan tegar menjelang tahun ini adalah keutamaan tertinggi Malaysia”,
“Melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat yang dilancarkan, kita percaya dapat meningkatkan pendapatan masyarakat B40 melalui keusahawanan pertanian, makanan dan perkhidmatan”
Selain itu, Zambry berkata tindakan penting lain ialah untuk membolehkan perdagangan rentas sempadan tenaga yang boleh diperbaharui.
Malaysia juga telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang bertujuan menyemak semula sasaran campuran kapasiti untuk tenaga boleh diperbaharui daripada 40% pada 2035 kepada 70% menjelang 2050.
Ini akan meningkatkan peralihan dalam memacu sektor ekonomi hijau dan memerangi perubahan iklim.