KUALA LUMPUR: Keperluan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat palsu, ketidakcekapan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), dan penyeragaman bayaran tol antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Riduan Rubin (Bebas-Tenom) meminta Menteri Komunikasi menyatakan sama ada kementerian bercadang menggubal undang-undang yang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan peredaran zaman berkenaan penyebaran maklumat palsu kerana ia berisiko menimbulkan kegentaran dan mengganggu ketenteraman awam, pada sesi soal jawab.
Selain itu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mahu Menteri Kerja Raya menyatakan usaha bagi menyelesaikan ketidakcekapan sistem RFID di lebuh raya sehingga menyusahkan pengguna.
Beliau turut bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk menyeragamkan sistem bayaran tol di seluruh negara.
Turut tersenarai, soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan statistik permohonan serta kelulusan projek dan jumlah yang telah dibelanjakan bagi program Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) mengikut pecahan negeri untuk tahun 2023 dan 2024.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh kementerian terlibat.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.