comscore
Tumpuan :
Nasional

Undang-undang kandungan terlarang dalam SMS: MCMC perlu perluas kepada aplikasi lain

Foto hiasan

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Larangan kepada orang awam dan syarikat menghantar kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengandungi pautan, permintaan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi yang berkuatkuasa pada 1 September berkesan mencapai matlamatnya.

Namun menurut Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, TS. Dr. Zubaile Abdullah usaha itu juga harus meliputi aplikasi lain seperti Telegram.

“Bila kita lihat statistik mengenai isu ini, memang ada peningkatan kes penipuan siber yang semakin licik terutama melibatkan SMS.

“Jadi kalau SMS itu, kita tahu dia go through melalui telco kita, tetapi kalau third party app macam Whatsapp dan Telegram susah. Jadi kerajaan atau MCMC kena perhalusi jugalah bagaimana boleh mengurangkan insiden penipuan melalui aplikasi ini, namun dalam pada masa sama, tidak menghalang kebebasan berkomunikasi atau kebebasan media itu sendiri.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UTHM, TS. Dr. Zubaile Abdullah.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Pengkomputeran, Informatik Dan Matematik, UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini, beliau turut menyambut baik larangan itu.

Namun katanya, masyarakat juga perlu mengetahui dan peka mengenai perkara tersebut.

“Masyarakat juga perlu tahu dan sedar bahawa SMS yang mengandungi kandungan terlarang seperti yang disebut di dalam kenyataan itu seperti hyperlink dan callback misalnya, boleh menjadi berbahaya kerana sering kali, ia digunakan sebagai satu kaedah dari penipu atau scammer untuk melancarkan serangan kepada pengguna, terutama pengguna telefon bimbit.

“Antara sebab kenapa kandungan-kandungan itu berisiko, kerana ia boleh jadi punca kepada phising attack atau penipuan dalam talian.

“Hyperlink yang biasa digunakan boleh bawa pengguna ke laman web palsu yang kemudiannya boleh menggunakan perisian-perisian tertentu atau malicious software tertentu untuk curi maklumat dan sebagainyalah.

“Dia boleh juga jadi punca kepada perisian hasad (malware) di mana perisian ini boleh mencuri data atau mengunci telefon pintar kita, selain boleh jadi aktiviti yang memberi kesan negatif kepada individu yang terkena,” katanya.

Pensyarah Kanan Kolej Pengkomputeran, Informatik Dan Matematik, UiTM Shah Alam, Prof. Madya Dr Muhamad Khairulnizam Zaini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil pula memberitahu, pengumuman itu seharusnya menjadi perhatian supaya maklumat yang dihebahkan oleh MCMC menjadi ilmu asas kepada semua pengguna.

“Biasanya dalam mesej atau pautan itu, mereka minta maklumat peribadi kita seperti alamat rumah dan sebagainya. Secara tidak langsung, mereka yang klik atau isi maklumat itu, sekaligus menjadikan mereka mangsa kepada penjenayah siber ini.

“Jadi dengan pengumuman ini, diharapkan pengguna lebih peka dengan tidak menekan pautan-pautan seperti ini.

“Saya turut harapkan, mana-mana pengguna yang terima SMS sebegitu, atau kandungan terlarang lain seperti iklan perjudian dalam talian, termasuk kandungan pornografi akan laporkan kepada MCMC.”ujarnya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini