comscore
Tumpuan :
Nasional

Undang-undang babit muatan lori bercelaru, sudah lapuk – PPLTM

Michael (tengah) menunjukkan surat dihantar ke pihak kementerian baru-baru ini. – FOTO NSTP

SERDANG: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM) mendakwa banyak masalah membabitkan pengusaha dan pemandu lori berpunca daripada garis panduan serta undang-undang berhubung berat dalam muatan (BDM) dan berat tanpa muatan (BTM) yang bercelaru.

Justeru, Pengerusinya, Datuk Michael Loo Leep Chye minta kerajaan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu kerana yang sedia ada sudah lapuk.

“Jalan raya itu kita tahu bukan milik lori, kita kena jaga keselamatan semua orang jadi kita minta kerajaan keluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) baharu kerana yang sedia ada sudah lapuk.

“Mereka perlu kaji, kumpulkan pakar-pakar malah kami juga bersedia untuk memberi pandangan, jangan bila berlaku kemalangan hari ini tangkap, operasi tiada penyelesaian.

“Hari ini tangkap, esok lori kena jalan juga, mereka perlu cari makan, ansuran bulanan perlu dibayar tetapi jika ikut BDM ditetapkan lori kami tidak mampu menjana keuntungan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, penyelesaian jangka pendek tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Semua perkara perlu ada pro dan kontra, jangan hanya salahkan pemandu lori, kami bukan perompak, kami bukan samseng kalau ada pengusaha atau pemandu yang tamak (bawa lebih muatan) kita sokong tangkap mereka.

”Tetapi jangan ambil jalan mudah sekelip mata salahkan pemandu kemudian buat operasi penguatkuasaan sebulan kemudian ‘sejuk semula’,” katanya.

Menurut Michael, pihak syarikat kini tersepit di antara kos operasi yang kian meningkat dan kerenah pelanggan yang rakus mengaut keuntungan memaksa mereka mengambil sesiapa sahaja yang berminat menjadi pemandu.

Katanya, dalam suasana ekonomi semasa, jika pengusaha industri pengangkutan lori menaikkan caj perkhidmatan ke atas syarikat pelanggan, beban kenaikan itu akhirnya ditanggung oleh rakyat yang juga pengguna akhir.

Beliau juga merayu kementerian dan pihak berkuasa berkaitan duduk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu pemandu lori sejak berpuluh tahun.

Katanya, setiap kali diajak berbincang, pelbagai alasan diberikan pihak berwajib menyebabkan pengusaha syarikat lori pengangkutan buntu.

“Kenapa tidak kita cari jalan penyelesaian, bukan hanya bila berlaku masalah, buat tangkapan hebat-hebat selepas itu senyap. Kalau ada undang-undang yang jelas kita akan suruh ahli seluruh Malaysia patuh.

“Kita boleh bertolak ansur tetapi undang-undang itu perlu praktikal. Selepas itu jika ada pengusaha yang tamak (bawa lebih muatan) atau rasuah sila ambil tindakan,” katanya.

Loading...
Terkini