HULU TERENGGANU: Anak-anak Orang Asli di Sungai Berua disantuni warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan sumbangan 40 bakul Ramadan melibatkan dana berjumlah lebih RM3,000.
Program Bakul Ramadan@Kg Sungai Berua itu merupakan iniasiatif sekumpulan penyelidik dari Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (IBTPL) UMT dengan kerjasama dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta beberapa rakan strategik dari agensi lain.
Timbalan Pengarah IBTPL UMT, Prof. Dr. Khatijah Omar berkata sempena Ramadan dan Aidil Fitri yang menjelang tiba, program berbentuk kebajikan itu dilihat perlu memandangkan komuniti Orang Asli tersebut beragama islam dan masih memerlukan bantuan.
“Alhamdulillah, kita telah membuat agihan 40 Bakul Ramadan yang di dalamnya diisikan dengan makanan dan minuman serta duit raya untuk meraikan anak-anak pelajar Orang Asli yang terlibat dalam projek ‘Jungle School’ kami.
“Kita berharap dengan adanya bantuan bakul ini sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan masyarakat Orang Asli untuk menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan menyalurkan bantuan untuk menjayakan program Bakul Ramadan pada kali ini yang merupakan kali kedua selepas pelaksanaannya pada Ramadan tahun lalu.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor Chm. Dr. Marinah Mohd Ariffin bagi menyerahkan Bakul Ramadan kepada komuniti Orang asli terlibat.
Menurut Prof. Khatijah lagi, ‘Jungle School’ diilhamkan sebagai Projek Sekolah Rimba (Jungle School) dengan tujuan untuk bersama-sama para guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di Hulu Terengganu untuk memupuk minat belajar dalam kalangan anak-anak Orang Asli supaya mereka tidak keciciran dalam dunia pendidikan.
Memperkenalkan konsep pembelajaran santai, beliau berkata slot pembelajaran yang dirangka sebanyak 20 slot meliputi topik Hutan Ini Milik Kita, Pasar Borong, Sing Along, Jom Masuk Hutan, Treasure Hunt & amp; Show and Tell dalam usaha menarik minat anak-anak Orang Asli itu untuk belajar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.