Tumpuan :
Nasional

UMS, UiTM Sabah diarah kenal pasti pelajar kurang mampu – KPT

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah untuk mengenal pasti pelajar kurang berkemampuan di kampus masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, arahan itu sebagai tindakan susulan berikutan kes pelajar menggunakan guni plastik sebagai bagasi untuk membawa barangan keperluan diri ketika mendaftar masuk di UMS, kelmarin.

Mustapha Sakmud (tengah) menemui pelajar kurang berkemampuan di Sabah yang menerima tawaran ke universiti. -FOTO: Ihsan KPT

Katanya, pihak pengurusan kedua-dua universiti itu perlu memastikan bantuan yang sewajarnya disalurkan kepada mana-mana pelajar kurang berkemampuan di kampus masing-masing.

“Saya menerima banyak mesej mengenai cabaran yang dihadapi sebahagian anak-anak siswa yang baharu atau sedang berdaftar di institut pengajian tinggi awam (Ipta) seluruh negara dan saya mengambil maklum perkara ini.

“Salah satu kes yang benar-benar menyentuh hati saya ialah kisah adik Rafida Zaiddin dari Sandakan yang mendaftar di UMS, membawa karung guni sebagai bagasi. Ini menunjukkan kecekalan dan kuatnya semangat adik Rafida menyambung pengajian walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Oleh itu, saya mengarahkan pihak pengurusan UMS dan UiTM Sabah untuk segera mengenal pasti pelajar kurang mampu bagi memastikan bantuan yang sewajarnya dapat disalurkan. No student should be left behind, KPT komited memastikan kebajikan pelajar terjaga sepanjang pengajian,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam tular gambar bagasi seorang pelajar baharu UMS di kampus induknya, di sini, yang menggunakan guni plastik ketika dikumpulkan di tempat pengumpulan bagasi untuk dihantar ke kolej kediaman.

Gambar itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berkongsi perasaan simpati terhadap pelajar terbabit di Facebooknya, semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini