comscore
Tumpuan :
Nasional

UMNO sokong tindakan keras kepada pihak remeh, perlekeh kalimah Allah

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: UMNO tegas dan teguh menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menyeru semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan Raja, Kaum dan Agama (3R).

Malah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu turut mendokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong, yang mahu tindakan keras diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati curang dan terbabit dalam sebarang usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

Asyraf berkata, ketetapan itu diputuskan UMNO pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung hari ini.

“UMNO amat prihatin dengan beberapa isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam, polemik perkauman yang dilihat mampu mencetuskan suasana ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung hari ini dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Isu sensitif seperti gugatan kepada aqidah Islam dalam filem Mentega Terbang, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, pengiktirafan Bak Kut Teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik amat memudaratkan.

“Sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru semua supaya menjadikan isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Seri Paduka Baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan agama, kaum dan Raja-Raja dan mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini